Bantu Golongan Rentan, Lima Gerakan Boleh Dilaksana Pemuda UMNO – Syed Mohd Kazim

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO perlu mempunyai jiwa dalam memastikan golongan rentan mampu membina kehidupan terutamanya kepada mereka yang baru belajar memulakan kehidupan sendiri.

Ahli Jawatankuasa Mahasiswa Dan Pendidikan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Kazim Syed Nasir berkata, terdapat lima gerakan dikenal pasti mampu untuk membantu golongan ini dan ianya perlu dilaksanakan dalam usaha menawan hati mereka.

“Ketika rakyat berhadapan cabaran getir pada masa ini, Pergerakan Pemuda UMNO perlu mempunyai jiwa untuk memastikan rakan seusia khususnya golongan rentan mampu membina kehidupan.

“Untuk tujuan itu, lima gerakan dikenal pasti mampu membantu golongan ini dan perlu dilaksanakan oleh Pemuda UMNO sejajar dengan asas perjuangan parti, seterusnya menawan mereka agar dapat bersama parti keramat orang Melayu ini,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga menawarkan diri sebagai calon Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam itu turut berkata, salah satu gerakan utama adalah memangkin ekonomi orang muda dengan mendapatkan pekerjaan mengikut minat dan kepakaran masing-masing.

“Salah satu gerakan utama adalah memangkin ekonomi orang muda dengan mendapatkan pekerjaan mengikut minat dan kepakaran masing-masing seiring dengan kemajuan negara masa kini.

“Ini amat penting kerana untuk memulakan kehidupan kendiri, setiap orang muda perlu mempunyai satu pekerjaan sebagai jaminan mereka melayari perjalanan hidup. Mereka mempunyai kepelbagaian minat serta kepakaran yang boleh menjana hasil pendapatan namun tanpa ada bantuan serta sokongan pihak tertentu secara tidak langsung membantutkan hasrat membina kehidupan.

“Melalui cara ini, Pemuda UMNO secara tidak langsung membantu rakan seusia mereka ketinggalan dari sudut ekonomi seterusnya terhindar daripada golongan yang ketinggalan,” katanya lagi.

Jelasnya, empat lagi gerakan yang tidak kurang pentingnya adalah mengembalikan UMNO seperti zaman kegemilangannya dahulu.

“Empat lagi gerakan yang tidak kurang pentingnya adalah mengembalikan UMNO kepada yang asal seperti zaman kegemilangannya lalu.

“Ramai anak muda dengan rela hati bersama UMNO tanpa perlu gerakan besar-besaran, mencari mereka berjuang bersama parti dan keadaan ini jauh berbeza pada masa sekarang,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, Pemuda UMNO perlu sentiasa memainkan peranan kepada masyarakat setempat dan usaha menjalin muafakat serta kesatuan agar keyakinan terhadap kepimpinan UMNO dapat diterima secara keseluruhannya.

“Untuk cadangan yang ketiga, Pemuda UMNO perlu sentiasa memainkan peranan kepada masyarakat setempat kerana ianya secara tidak langsung menampakkan kita bersama mereka dalam susah dan senang.

“Cadangan gerakan yang perlu turut diadakan adalah membina golongan muda mesra digital serta pemuda era baharu yang lebih kepada usaha menjalin muafakat dan kesatuan agar keyakinan terhadap pimpinan Pemuda UMNO dapat diterima secara keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.