Pemilihan UMNO 2023: Kempen Aplikasi Media Sosial Boleh Diguna Pakai – JPU

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Tan Sri Shahrir Samad menyarankan calon-calon yang bertanding pada Pemilihan UMNO 2023 ini menggunakan saluran media sosial untuk berkempen.

Katanya, kaedah tersebut boleh diguna pakai dalam kalangan calon-calon bagi memudahkan mereka ekoran tempoh kempen yang singkat.

“Saya hendak menegaskan bahawa kelonggaran kepada tataetika yang kita guna pakai sekarang ini bahawa kemudahan atas talian mahupun media sosial harus digunakan.

“Ini termasuk mengadakan pertemuan melalui aplikasi seperti Zoom atau Whatapps dan sebagainya boleh diguna pakai untuk menganti pertemuan secara bersemuka kerana kita tahu bahawa tempoh pemilihan iaitu dripada 1 Feb sampai ke tarikh pemilihan 18 Mac adalah pendek.

“… dalam keadaan ini penggunaan media sosial dalam bentuk applikasi pertemuan tidak menjadi masalah untuk dilakukan oleh calon-calon yang bakal menawarkan diri,” katanya ketika sidang media yang diadakan petang tadi di Auditorium UMNO, Menara Dato’ Onn, di sini.

Dalam masa yang sama, Shahrir turut memaklumkan sehingga semalam seramai 111 calon telah mendaftarkan diri untuk pertandingan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi dan Wanita serta sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri.

Bagaimanapun katanya, bagi jawatan Naib Presiden tiada lagi calon yang mendaftarkan diri untuk bertanding,

“Daripada jawatan-jawatan penting belum ada lagi tokoh yang mendaftar untuk bertanding bagi jawatan naib presiden tetapi bagi Majlis Kerja Tertinggi seramai 24 calon telah mendaftar.

“Bagi Ketua Wanita UMNO Malaysia sudah ada seorang calon, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO seorang manakala Ketua Pergerakan Puteri UMNO enam calon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

“Manakala ada seorang calon yang mendaftar bagi Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, dua calon Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan tiga calon bagi Puteri. Exco 22 calon (Wanita), 25 (Pemuda) dan 15 (Puteri) orang yang telah mendaftar,” ujar beliau.

Shahrir juga menjangkakan minggu terakhir ini akan menyaksikan lebih ramai calon yang akan mendaftar termasuk bagi jawatan Naib Presiden UMNO.

“Kami jangka pada minggu kedua ini iaitu bagi minggu terakhir kita akan melihat lebih ramai lagi yang akan mendaftar bagi semua jawatan… tentunya pendaftaran bagi calon-calon Naib Presiden UMNO akan kita tunggu-tunggu pada seminggu ini,” katanya.

Terdahulu pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 telah dibuka bermula 13 sehingga 26 Februari 2023 di Auditorium Menara Dato’ Onn di sini bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat ahli jawatankuasa bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.