Kerajaan Tidak Mahu Golongan Huffaz Terpinggir Daripada Aliran Pendidikan Nasional

TANJUNG MALIM, 19 Feb – Kerajaan berhasrat meningkatkan martabat golongan huffaz di Malaysia dengan memastikan mereka turut memiliki kelayakan akademik dan tidak terpinggir daripada aliran pendidikan nasional.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu antara lain adalah menerusi langkah pewujudan modul pendidikan latihan guru ulul albab di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan peluang untuk para huffaz melanjutkan pengajian dari peringkat sijil hingga ijazah di universiti itu.

Beliau berkata inisiatif itu adalah sejajar dengan hasrat yang telah ditetapkan oleh kerajaan beberapa tahun lepas untuk melahirkan sejumlah 125,000 huffaz profesional menjelang 2050.

“Ertinya mereka bukan hanya menjadi profesional seperti jurutera, peguam, doktor, akauntan dan menyertai institusi serta badan korporat tetapi pada waktu sama, mereka juga boleh terus menjadi imam masjid,” katanya selepas melakukan lawatan khas ke UPSI hari ini.

Ahmad Zahid berkata golongan huffaz perlu memiliki kelulusan akademik termasuk Sijil Pelajaran Malaysia yang menjadi antara syarat untuk menyertai perkhidmatan awam.

Beliau berkata ini memandangkan kerajaan melihat kebanyakan golongan itu berada di bawah garis kemiskinan kerana terdapat persepsi bahawa kerja-kerja ibadah yang dilakukan harus dibuat secara percuma.

Timbalan Perdana Menteri berkata persepsi itu kurang sesuai kerana golongan huffaz juga perlu menjana pendapatan mereka sendiri untuk kelangsungan hidup.

“Kita jangan meremehkan mereka yang berada dalam bidang agama terutama dalam maahad tahfiz sehingga mereka terpinggir daripada aliran pendidikan nasional,” katanya sambil menambah beliau menghargai usaha UPSI untuk mewujudkan sebuah institusi pendidikan dan pengajian Islam secara khusus bagi mendepani penerokaan peluang-peluang kepada huffaz di seluruh negara.

Beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong semua perancangan itu dan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta) sebagai pertubuhan bukan kerajaan sudah tentu melakukan pelbagai tindakan proaktif.

Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 akan dilancar pada 11 Mac dan sehubungan itu, kerajaan sedang mengkaji DPTN terdahulu yang dilancarkan pada 2016 bagi memastikan terdapat penyelarasan dari segi kaedah pengajaran dalam institusi tahfiz. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.