Perkemas, Perkukuh UMNO Hadapi Cabaran Mendatang – Raime

KOTA KINABALU, 18 Feb – Akar umbi dan ahli UMNO Sabah disarankan untuk terus perkukuh jentera parti dalam usaha memperkemas persiapan cabaran politik akan datang.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, persidangan cawangan yang bermula 1 Februari lalu perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam mencari aspirasi baharu bagi memastikan parti keramat ini terus kekal relevan di mata rakyat.

Beliau berkata, senario politik yang sentiasa dinamik di peringkat Pusat termasuklah di Sabah perlulah menjadi pemangkin utama dalam mengekalkan perpaduan di peringkat akar umbi, cawangan dan bahagian.

“Selamat bersidang untuk semua ahli UMNO Sabah yang mana sudah bermula pada 1 Februari lalu dan tamat pada 26 Februari nanti.

“Ambil peluang ini untuk memanfaatkan ikatan memperkuat jentera sedia ada sebagai persiapan menghadapi cabaran politik di masa akan datang di Sabah, malah persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri nanti.

“Setiap apa yang terjadi kepada UMNO/ Barisan Nasional (BN) Sabah dalam senario politik masa kini mempunyai hikmah tersendiri, dan kita sebagai ahli yang setia harus merapatkan ukhuwah demi memartabatkan imej parti ini di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan medianya, malam tadi.

Raime dalam masa yang sama turut menasihatkan semua penyokong, ahli dan akar umbi supaya terus bertenang menghadapi kemelut politik di Sabah selain memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan mengorak langkah terbaik demi kelangsungan parti.

“Seperti mana yang saya pernah sentuh sebelum ini, UMNO Sabah tetap relevan dan bersedia mengharungi segala onak duri politik yang mana sudah dibuktikan dalam beberapa senario sebelum ini.

“Percayalah, kita akan sentiasa bangkit,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.