Pemilihan UMNO 2023: Isham Seru Para Calon Berkempen Secara Sihat

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil mengajak para calon dalam Pemilihan UMNO 2023 untuk mengamalkan kempen secara positif bagi meraih undi.

Tegasnya, kempen secara negatif sehingga menyerang peribadi calon lain akan mencalarkan imej parti dan disaksikan oleh parti-parti lain.

“Tadi (semalam) kita banyak bincang pasal Pemilihan UMNO akan datang yang menjurus kepada administrative. Perkara-perkara yang boleh dilakukan atau tidak boleh dibuat.

“Seperti yang tertera dalam etika pemilihan sebagai contoh, boleh berkempen tetapi kita galakkan para calon untuk melakukannya secara positif.

“Jangan berkempen secara negatif dengan menyerang calon-calon lain. Apabila kita berkempen secara negatif bukan orang dalam UMNO sahaja yang akan tengok. Parti lawan pun akan tengok dan perkara tersebut tidak baik untuk imej parti,” katanya ketika ditemui sejurus selepas mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malam tadi.

Mengulas lanjut, Isham turut memaklumkan bahawa persaingan dalam pemilihan kali ini dijangka akan agak sengit secara tidak langsung menggambarkan demokrasi dalam UMNO masih subur.

“Setakat ini, saya tidak boleh memberitahu nombor secara spesifik calon yang telah menyerahkan borang untuk pemilihan ini. Tetapi yang saya boleh katakan adalah sangat menggalakkan.

“Jadi, ramai lagi yang berminat untuk bertanding jawatan dalam UMNO. Ini menunjukkan bahawa demokrasi dalam UMNO kian subur,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.