Bakat Puteri UMNO Perlu Digilap Dan Diraikan – Khaidirah

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Bakat Pergerakan Puteri UMNO perlu digilap, diraikan dalam menjadikannya sebagai wadah paling sesuai mendukung agenda wanita muda, keluarga serta belia.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Khaidirah Abu Zahar berkata, potensi dan bakat wanita muda hari ini bagi membentuk Malaysia yang diimpikan.

“Potensi dan bakat wanita muda hari ini sangat diperlukan dalam membina masyarakat Malaysia yang kita semua impikan.

“Dalam UMNO, bakat Puteri perlu digilap, diangkat dan diraikan. Pergerakan Puteri UMNO Malaysia wajar menjadi wadah paling sesuai mendukung agenda wanita muda, keluarga dan belia bahkan berusaha menjadi rujukan utama kepada semua pihak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim itu menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin melahirkan rasa keyakinan bahawa cita-cita tersebut turut dikongsi untuk melihat masa depan lebih cerah dicorak generasi hari ini.

“Saya yakin cita-cita ini turut dikongsi dengan sahabat-sahabat Puteri UMNO, rakan-rakan wanita muda dan beliawanis di luar sana untuk melihat masa depan yang lebih cerah dicorak oleh generasi hari ini.

“Mengambil hikmah “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat” sebuah gerak kerja bersepadu akan berjaya jika diusahakan dengan kepimpinan berserta pasukan yang mantap.

“Dengan rasa keinsafan dan penuh tawakkal, saya menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bagi penggal tahun 2023 – 2026,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.