Usul Pembersihan UMNO Dipersetujui Perwakilan PAU… Perkukuh Parti Demi Masa Depan

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Keputusan untuk melakukan pembersihan UMNO telah dimuktamadkan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini yang mendapat persetujuan majoriti perwakilan hadir.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, lapan usul yang dibawa ke PAU itu turut termasuk usul berkaitan Kerajaan Perpaduan seperti memberikan sokongan sehingga habis penggal.

“Ketika PAU, selaku pembuat dasar utama parti telah disebut bahawa kita perlu ada pembersihan daripada unsur-unsur yang boleh melemahkan parti.

“Ada lapan usul kesemuanya dan ianya dipersetujui majoriti perwakilan yang hadir. Antaranya, daripada lapan usul itu selalu yang disebut hanya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan.

“Tetapi, ada usul-usul lain dan antara tiga daripada usulnya ialah berhubung kait dengan Kerajaan Perpaduan. Contohnya, kita menyokong Kerajaan Perpaduan ini sehingga habis penggal,” katanya menerusi wawancara secara langsung di Facebook BNComms.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, antara usul mengenai Kerajaan Perpaduan, terselit perkara mengenai pembersihan parti untuk usaha pengukuhan pada masa hadapan.

“Kemudian, disebut juga bahawa kita ingin memastikan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan menghormati memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani berhubung Islam, Melayu, Bumiputra, Raja dan Bahasa Melayu.

“Satu lagi, kita minta supaya Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini menyelesaikan masalah-masalah rakyat terutamanya kos sara hidup, pekerjaan dan lain-lain. Itu tiga usul mengenai Kerajaan Perpaduan.

“Tetapi, ada satu usul di tengah-tengah perkataan itu supaya parti membuat pembersihan agar lebih kukuh pada masa depan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ahmad turut memaklumkan bahawa majoriti Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang hadir bersetuju dengan keputusan parti dalam usaha pembersihan UMNO.

“Kita tahu antara tiga nama yang besar iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Tan Sri Noh Omar. Apa yang berlaku pada ketika itu, Presiden menyatakan perkara tersebut dalam mesyuarat MKT dan mendengar beberapa pandangan.

“Ada empat pandangan berbeza dan yang hadir pada ketika itu 46 orang. Dengan lain perkataan, kita boleh katakan majoriti ahli majlis bersetuju terhadap tindakan tersebut.

“Maka, kita boleh merumuskan bahawa ia adalah keputusan majoriti dan bukannya keputusan Presiden seorang sahaja,” katanya lagi.

Pada penghujung Januari, media melaporkan bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada UMNO.

Manakala ahli UMNO yang digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan.

Selain itu, lima lagi ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli UMNO dari Pahang turut dipecat.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mereka dipecat disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.