Isu Pajakan Dan Air: Segera Bawa Ke Mahkamah – Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan berhati-hati dan berhenti daripada terus mencipta ‘pergaduhan jalanan’ yang dilihat hanya lebih memberikan kesan negatif kepada negeri Kedah sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata bermula dengan isu tuntutan RM100 juta royalti pajakan, diikuti dengan isu caj air mentah kepada Pulau Pinang dan kini mempersoalkan pula isu kedaulatan negeri tersebut.

“Datuk Seri Sanusi terus mendiamkan diri selepas hampir seminggu laporan polis dibuat oleh Ahli Parlimen Jelutong berhubung dakwaan beliau (berkaitan Pulau Pinang dipajak dari Kedah) yang disifatkan sebagai subversif, mengganggu serta mempersoal kuasa dan prerogratif Agong.

“Pada hemat saya, isu pajakan Pulau Pinang ini pernah dibangkitkan oleh Sanusi pada pertengahan tahun 2021 namun ianya hilang daripada radar selepas beberapa bulan. Hanya pada awal tahun ini, isu kedaulatan Pulau Pinang ini diperkatakan semula oleh Sanusi.

“Sebagai anak Kedah, saya ingin nasihatkan Sanusi harus fokus dan memperkemas tadbir urus kerajaan negeri yang sedang dikecam hebat oleh rakyat Kedah sendiri, misalnya skandal kecurian nadir bumi yang berlaku di Sik serta status terkini rizab kerajaan negeri yang sebelum ini bernilai lebih RM600 juta namun selepas pilihan raya khabarnya rizab kerajaan negeri kini telah berkurangan dan tidak melebihi RM400 juta sahaja,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Hakikatnya, tambah beliau ini naratif baru yang cuba dibuka dan diwujudkan ataupun bakal menjadi ‘makanan’ baru parti Pas selain daripada isu perkauman dan agama.

“Kali ini naratif ‘kenegerian’ ataupun politik sempadan ‘border politics’ menjadi taruhan selepas kegagalan mereka mengurus negeri. Hakikatnya Sanusi hidup dengan manipulasi politik dan permainan angka yang mengelirukan,

“Seandainya Sanusi betul-betul anak jantan, saya cadangkan untuk beliau bawa isu-isu ini ke Mahkamah Persekutuan dan bukannya terus terusan menyalak dengan kata-kata yang mengelirukan.

“Hentikan politik murahan, biar mahkamah yang tentukan status Pulau Pinang dan kedaulatannya,” tambahnya.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.