Pemilihan UMNO 2023: Kalah Menang Adat Bertanding, Terus Menyumbang Kepada Parti

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Menang atau kalah dalam sesuatu pertandingan merupakan satu adat namun para calon yang bertanding perlulah menanam azam untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada parti meskipun tidak berjaya pada Pemilihan UMNO kali ini.

Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO, Johari Yazid berkata, pesta demokrasi sempena Pemilihan UMNO kali ini perlulah disemarakkan dengan pertandingan yang sihat terutamanya semasa berkempen.

“Saya ingin menasihatkan semua perwakilan khususnya di peringkat cawangan, pusat dan bahagian, marilah kita ubah cara berkempen agar pertandingan yang berlangsung ini teratur mengikut demokrasi dan harmoni.

“Saya tidak nafikan, apabila ada pertandingan pasti akan ada yang menang dan kalah. Kalau kalah, sedikit sebanyak mesti ada rasa kekecewaan itu. Tanamkan azam dalam diri, meskipun kalah, kita akan terus menyumbang kepada parti.

“Jangan jadikan pertandingan ini sebagai satu medan untuk memburuk-burukkan orang, mengadu domba dan fitnah. Kita ubah konsep, pastikan bahawa pertandingan ini adalah satu perkara yang sihat waima di peringkat cawangan, bahagian dan pusat,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ketua Pemuda UMNO Cheras itu turut menafikan bahawa demokrasi dalam UMNO sudah mati kerana pemilihan kali ini menyaksikan ramai calon menawarkan diri untuk semua jawatan yang dipertandingkan.

“Kalau nak cakap demokrasi telah mati dalam UMNO, benda ni tidak betul sebab keputusan tersebut telah dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Saya rasa ramai para media boleh menyaksikan dengan mata kepala sendiri bahawa majoriti perwakilan hadir pada PAU tempoh hari bersetuju dengan usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

“Jadi, kepimpinan di peringkat UMNO Malaysia membawa keputusan dalam PAU itu untuk diterjemahkan sebagai satu keputusan majoriti ahli parti. Memang betul ada yang tidak bersetuju namun majoritinya bangun dan menyokong usul tersebut.

“Kalau nak kata demokrasi itu telah mati, tidak. Jawatan-jawatan lain masih dipertandingkan. Di peringkat bahagian, semua jawatan dipertandingkan dan yang tidak dipertandingkan hanya dua jawatan iaitu Presiden dan Timbalan Presiden,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, usul tersebut dibawa oleh perwakilan untuk mengelakkan berlakunya pergolakan dalam dan luaran yang boleh menjejaskan kerajaan sedia ada.

“Kalau kita tengok impaknya, sekarang ini Presiden kita adalah Timbalan Perdana Menteri. Apa akan jadi sekiranya Timbalan Perdana Menteri bukan Presiden parti? Adakah kita mahu melihat semula pergolakan seperti sebelum ini berlaku?

“Dalam keadaan kerajaan stabil sekarang ini, cantik, banyak pelabur asing dah masuk ke Malaysia balik, kita tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dan dalam kesesakan kehidupan sekarang ini, kita tidak mampu melihat perkara-perkara yang menindas rakyat ini kembali.

“Jadi, saya kira nak cakap demokrasi telah mati itu tidak betul. Saya mempertahankan keputusan yang telah dibuat pada PAU. Keputusan ini bukan dibuat pada mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tetapi dilontarkan pada PAU lepas,” katanya lagi.

Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda, Puteri Cawangan telah bermula pada 1 Februari serta akan berakhir pada 26 Februari 2023.

Pada 11 Mac 2023 akan diadakan Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pergerakan Pemuda serta Puteri Bahagian. Pada tarikh yang sama turut akan diadakan Pemilihan Exco Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri peringkat Pusat.

Pemilihan UMNO akan berakhir pada 18 Mac 2023 dengan berlangsungnya Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.