Pemilihan 2023 Bawa Hala Tuju Baharu Buat Parti, Terus Dukung Perjuangan – Rosni

 

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari percaya bahawa Pemilihan 2023 ini berupaya dalam membawa hala tuju baharu buat parti.

Katanya ini penting dalam membawa parti keramat ini meniti perjuangan yang telah didukung sejak awal penubuhannya.

“Menghargai kepada pentadbiran yang membuka peluang kepada pertandingan ini kerana bagi saya ianya adalah suatu demokrasi dalam parti. Maknanya semua orang boleh bertanding dengan syarat ada matlamatnya ke mana arah yang hendak dibawa parti ini khususnya Wanita,” katanya.

Beliau yang akan bertanding sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia pada pemilihan kali ini meluahkan harapan dalam memberikan kepercayaan kepada beliau bagi merangka strategi terbaik bagi parti.

Jelas beliau pengalaman yang dimiliki berupaya dalam membantu parti termasuk Wanita dalam meraih kepercayaan rakyat pada parti keramat ini.

“Saya hendak bertanding Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia untuk memperkukuhkan lagi parti ini memandang UMNO pada masa ini menghadapi defisit keyakinan daripada rakyat Malaysia dan insya-Allah berbekalkan kepada pengalaman yang ada ini saya akan menyumbang dalam memperkuatkan lagi UMNO dan terus membantu Presiden dalam mengukuhkan parti ini.

“Perlu untuk saya terus menyumbang kepada Wanita UMNO Malaysia bersandarkan dengan pengalaman dimiliki menjadi ketua wanita cawangan daripada umur 18 tahun dengan meniti tangga-tangga perjuangan.

“Saya menjadi ahli jawatankuasa UMNO bahagian bertanding pada 1992 dan menang kemudian 1995 menjadi Ketua Wanita UMNO Bahagian sampai menjadi Naib Setiausaha Wanita UMNO Pahang, Naib Ketua Wanita UMNO Pahang, Ketua Wanita UMNO Pahang, Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Pengarah Komunikasi Wanita UMNO Malaysia,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Terdahulu pendaftaran bagi proses Pemilihan UMNO 2023 telah dibuka bermula 12 sehingga 26 Februari 2023 di Auditorium Menara Dato’ Onn bagi jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Exco Wanita, Pemuda dan Puteri.

Sementara itu bagi pemilihan jawatan di peringkat bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri bahagian, pendaftaran juga telah dibuka di Pejabat UMNO Bahagian atau Perhubungan UMNO Negeri. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.