Hutang PTPTN: Pelbagai Inisiatif Dalam Usaha Mudahkan Peminjam Daripada Golongan Sasar

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Terdapat pelbagai cara dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk memudahkan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada golongan sasar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata meskipun kerajaan tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 buat masa ini, kerajaan sentiasa prihatin dalam usaha memudahkan para peminjam.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa prihatin dan memberi perhatian kepada peminjam PTPTN dan kemudahan membayar balik pinjaman.

“Sehingga kini, terdapat pelbagai cara dan inisiatif dilakukan dalam usaha memudahkan peminjam daripada golongan itu, antaranya penangguhan bayaran balik jika menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan dan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan.

“Selain itu, pemberian diskaun bayaran balik jika dilakukan bayaran secara sekali gus dengan penuh dan bayaran balik hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian bagi memberi ruang membuat persediaan sewajarnya serta memperoleh pendapatan yang stabil sebelum memulakan bayaran balik,” katanya Ahli Parlimen Kota Tinggi itu pada sesi Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut memaklumkan bahawa pemansuhan hutang PTPTN bersasar akan melibatkan seramai 1.84 juta peminjam dengan jumlah pemansuhan sebanyak RM42.34 bilion.

“Cadangan pemansuhan pinjaman PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan melibatkan seramai 1.84 juta peminjam dengan jumlah pemansuhan sebanyak RM42.34 bilion.

“Saya maklumkan semua parti telah menjadi kerajaan dan tiada satu pun yang telah mansuhkan pinjaman PTPTN. PTPTN hanya jadi modal politik dan kerana itu saya menyeru agar berhenti mempolitikkannya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.