KKDW Garis Empat Fokus Utama Pertingkat Kemajuan, Pembangunan Luar Bandar

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan empat fokus utama untuk meningkatkan fungsinya bagi kemajuan serta pembangunan luar bandar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata empat fokus utama itu melibatkan prasarana luar bandar, program modal insan, keusahawanan dan ekonomi menerusi 22 program ‘quick wins’ serta 19 ‘game changer’ yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata bagi memastikan semua program itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, beliau berkata satu pasukan petugas ditubuhkan yang diketuai Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun serta dianggotai wakil agensi di bawah kementerian berkenaan sebagai pemantau.

“Apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menjenamakan kementerian ini, beliau ada jangkaan atau harapan tertentu dan mahu pencapaian yang tinggi untuk membantu memberikan kepuasan (menerusi khidmat dan program KKDW) kepada kumpulan sasar iaitu masyarakat di desa.

“Untuk mengukur tahap kepuasan rakyat bukan sahaja (perlu) berdasarkan output (tindakan) dan outcome (tujuan inisiatif) malah merangkumi soal keberkesanan setiap program kita,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Bengkel Hala Tuju Strategik KKDW di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata KKDW berhasrat merapatkan jurang ekonomi antara luar bandar dan bandar selain mengurangkan berlaku perpindahan penduduk luar bandar ke bandar berikutan kekurangan peluang pekerjaan khusus bagi golongan belia.

“Melalui program yang sedang dan bakal dilaksanakan, kita berhasrat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, membuka lebih banyak peluang keusahawanan desa serta perubahan lain.

“Kita akan lakukan pendekatan Strategi Lautan Biru dan Strategi Lautan Merah serta memperluas kerjasama antara agensi selain mendapatkan sumbang saran daripada pelbagai pihak,” katanya.

Beliau turut menyeru sektor korporat, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk saling bekerjasama dengan KKDW bagi menjayakan setiap program memperkasa masyarakat luar bandar.

Mengulas mengenai bengkel itu, Ahmad Zahid berkata program tiga hari tersebut yang bermula Jumaat lepas bertujuan membincangkan serta meneliti setiap inisiatif dan kerangka program merangkumi keempat-empat fokus utama supaya setiap program mencapai matlamat ditetapkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.