BN Sokong Kerajaan Perpaduan Sabah, Yakub Khan Wakil Parti Dalam Perundingan

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Barisan Nasional (BN) Malaysia mengambil ketetapan memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pendirian itu sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya.

“Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan Sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah,” kata Menteri Luar Negeri itu.

Seterusnya tambah Dr Zambry lagi, BN Sabah dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan sekaligus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.

“BN Malaysia menamakan Datuk Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah,” ujarnya. – UMNO ONLINE

Kenyataan Media SUA (Bil 1 2023)

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.