KKDW Tekad Pastikan Tiada Keciciran Dalam Kalangan Lepasan SPM – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bertekad untuk memastikan tidak berlaku keciciran dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), terutama masyarakat luar bandar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab KKDW untuk membangunkan sosioekonomi masyarakat luar bandar.

“Kita (KKDW) perlu pastikan tiada sesiapa yang ‘tercicir’ (dalam pendidikan),” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-19 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Pusat Dagangan Dunia di sini, hari ini.

Katanya beliau juga mahukan supaya pelajar institusi di bawah kementerian berkenaan khususnya dalam bidang berkaitan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Jangan ada prasangka bahawa mereka dianggap drop out atau tercicir dalam bidang akademik dan masuk ke bidang TVET ini, tiada peluang dan masa depan. UniKL telah membuktikan bahawa mereka adalah aset negara dan mampu untuk cemerlang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pada masa ini, 280 alumni UniKL dari 2016 hingga tahun lepas bekerja di 24 negara, sekali gus membuktikan graduan UniKL diiktiraf dunia serta menyumbang kepada usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi daripada bidang TVET.

Pada Majlis Konvokesyen ke-19 UniKL yang bermula hari ini hingga 14 Feb, beliau yang juga Pro Canselor UniKL menyampaikan ijazah doktor falsafah, sarjana, sarjana muda, diploma dan sijil serta anugerah pelajar terbaik kepada beberapa graduan bagi tahun 2022.

Majlis konvokesyen UniKL kali ini meraikan 5,834 graduan yang antaranya merangkumi 23 graduan ijazah doktor falsafah, 151 graduan ijazah sarjana, 4,299 graduan ijazah sarjana muda dan 1,360 graduan diploma.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun dan Presiden UniKL Datuk Dr Roziah Omar.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Ahmad Zahid berkata pihaknya menyasarkan kebolehpasaran graduan UniKL tahun 2022 mencapai lebih 98 peratus pada tahun ini.

“Tahun lepas kita dapati (kebolehpasaran graduan UniKL) adalah 97.1 peratus dan tahun 2020, 96.1 peratus,” kata beliau.

Menurutnya kebolehpasaran UniKL melebihi 90 peratus kerana ia menawarkan pelbagai kursus berkaitan TVET memandangkan kebanyakan pasaran kini memerlukan tenaga yang mendapat latihan kemahiran dalam bidang berkenaan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.