UMNO/BN Perlu Bentuk Pengundi Muda, Guna Isu Lebih Kontemporari – Azmi Hassan

KUALA LUMPUR, 10 Feb – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu membentuk pengundi muda di samping meyakinkan bahawa parti ini berkebolehan dalam mempertahankan kepentingan mereka.

Penganalisis Politik dan Geostrategis Dr Azmi Hassan berkata, anak muda lebih tertarik kepada isu kontemporari berbanding sejarah lama seperti yang berlaku di Amerika Syarikat dan Singapura.

“Bagi saya generasi sekarang adalah generasi yang jika kita berikan kail kepada mereka, mereka akan hargai dan perkara ini bukan sesuatu unik bagi kita sahaja.

“Semasa pemilihan pertengahan penggal Amerika Syarikat, Republican tidak menang seperti yang disangkakan adalah disebabkan pengundi muda. Mereka lebih mirip kepada parti Demokrat kerana parti tersebut bercakap isu kontemporari. Republican masih kisah lama lagi.

“Dua tahun lalu di Singapura mengapa parti pembangkang menang banyak kerusi? Kerana pengundi muda. Mereka berikan peluang kepada pihak pembangkang sebab mereka fikir, tak akan Parti Tindakan Rakyat (PAP) sahaja yang perlu menang?” katanya dalam sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online baru-baru ini.

Jelasnya, UMNO perlu menggunakan pendekatan dan isu yang lebih kontemporari sekiranya berhadapan dengan pengundi muda terutamanya dalam usaha menarik undi mereka.

“Kita perlu membentuk pengundi muda di samping meyakinkan bahawa UMNO adalah parti yang boleh mempertahankan kepentingan mereka. Sebab itu bila bercakap dengan anak-anak muda, isunya mesti kontemporari.

“Kalau tidak, memang mereka tidak mahu dengar dan akan memilih sesuatu parti atau kumpulan yang dikatakan lebih bijak nampaknya,” katanya lagi.

Menurut Azmi lagi, sejarah dan legasi yang dimiliki oleh UMNO merupakan satu kelebihan yang tidak ada pada parti lain dan perlu digunakan sewajarnya terutama apabila berhadapan pengundi muda.

“Sejarah dan legasi yang dimilik oleh UMNO adalah satu kelebihan kerana parti lain tidak boleh mendabik dada dengan apa yang parti ini ada. Cuma masalahnya, legasi dan sejarah itu digunakan secara keterlaluan. Apabila diceritakan, seolah-olah 70 tahun yang lepas dan disampaikan secara literally.

“Anak-anak muda tidak mahu dengar perkara-perkara ini sebab mereka ini generasi selepas anak merdeka. Bagi saya, itu adalah satu kelebihan UMNO tetapi ianya tidak digunakan apabila pemimpin tidak boleh mengaitkan isu sekarang dengan apa yang berlaku sebelum ini.

“Itu masalahnya tetapi sebab itu pemimpin tidak kira ketua cawangan ataupun bahagian mahupun sayap perlu menunjukkan contoh yang baik. Apabila berkata-kata itu, perlu nampak bijaknya di mata mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.