Pemilihan UMNO: Segala Tata Etika Ditetapkan Untuk Lahirkan Pemimpin Berwibawa

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Segala kaedah yang ditetapkan sepanjang proses Pemilihan UMNO di peringkat cawangan, bahagian mahupun pusat adalah bertujuan untuk melahirkan pemimpin berwibawa, berintegriti dan bersih daripada sebarang salah laku terutamanya politik wang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, calon-calon yang mahu menawarkan diri perlu memahami segala tata etika telah ditetapkan bagi mengelak sebarang tindakan dikenakan.

“Calon-calon yang bertanding dan menawarkan diri untuk menjadi Ketua Bahagian, Timbalan, Naib ataupun Ketua Pemuda harus memahami bahawa ini bukan perkara yang luar biasa. Tata etika ini sudah wujud.

“Jadi, janganlah ada pemimpin yang melakukan salah laku seperti mana yang disebutkan dalam tata etika tersebut. Dalam soal pertandingan mesti ada peraturan, kaedah dan sekatannya namun ianya tidak melarang mereka sehingga tidak boleh berkempen,” katanya dalam satu sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru itu turut menggalakkan para calon supaya berkempen secara sihat sepanjang pemilihan dan menggunakan media sosial.

“Berkempenlah dengan sihat. Kami kali ini menegaskan bahawa cara berkempen yang patut diamalkan semua calon ialah dengan menggunakan media sosial. Kalau boleh dapat temubual oleh media atas talian, teruskan. Tetapi masih berpandukan tata etika.

“Ini bukannya perkara baharu. Setiap kali selepas pemilihan kita banyak dengar cerita ada individu yang digantung, dikenakan tindakan kerana amalan politik wang, aduan dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa UMNO adalah sebuah parti yang serius,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Shahrir turut berkata, segala kaedah yang ada pada parti ini boleh menegah pihak luar dari mengatakan UMNO sebuah parti rosak.

“Di peringkat pemilihan ini kita juga ada jawatankuasa bantahan. Jawatankuasa bahagian di peringkat pusat akan menerima aduan bagi pertandingan di peringkat bahagian dan juga di peringkat pusat. Sekiranya di peringkat cawangan terdapat aduan salah laku, aduan tersebut boleh disampaikan di peringkat negeri.

“Kalau orang kata kita (UMNO) ini parti yang rosak, kita boleh cakap bahawa kita ada garis panduan dan peraturan. Maka, sesiapa yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan.

“Kaedah kita ini memang tersusun dan ianya bukan perkara yang baharu serta bersesuaian dengan kehendak semasa kerana kita mahukan pemimpin yang bersih. Ini tujuannya,” katanya lagi.

Untuk rekod, Majlis Kerja Tertinggi telah melantik Tan Sri Shahrir Abdul Samad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023 dan Datuk Mustapha Yaakub sebagai Setiausaha JPU.

Antara tanggungjawab JPU adalah melaksana, mengawal, menyelia dan memantau pemilihan jawatan-jawatan peringkat bahagian dan pusat supaya ia dijalankan dengan sempurna mengikut sistem yang telah dipersetujui serta memastikan Perlembagaan UMNO, Peraturan Persidangan dan Tataetika Ahli UMNO dipathi sepenuhnya oleh semua pihak terlibat dalam pemilihan UMNO.

JPU juga bertanggungjawab menyelaras pendaftaran calon yang bertanding, menguruskan taklimat dan penerangan mengenai peraturan pemilihan serta mengesahkan keputusan pemilihan di peringkat pusat dan bahagian termasuk peringkat Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum diumumkan oleh Pengerusi Tetap. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.