Demokrasi UMNO Bermula, Hasmuni Umum Tanding Ketua Pemuda

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menyatakan pendirian akan bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan yang akan berlangsung 11 Mac ini.

Jelasnya, tujuan utama beliau bertanding adalah memastikan golongan muda kembali dan yakin dengan perjuangan UMNO.

“Fokus utama adalah untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16 dan memastikan sokongan anak-anak muda kembali pada UMNO/Barisan Nasional (BN).

“Saya menampilkan wakil-wakil calon yang berumur 40 tahun ke bawah termasuk bakal exco Pemuda yang menawarkan diri dan kebanyakkannya adalah berumur 20 hingga 30 tahun.

“Kita akan rangka strategi dan memastikan sokongan anak-anak muda kembali pada UMNO/BN. Kita melihat semangat bangkit kembali dengan pasukan yang bakal ditonjolkan untuk penggal ini akan bersungguh-sungguh untuk memastikan UMNO  kembali ke persada yang sebenar,” katanya demikian pada sidang media yang diadakan di sini, petang tadi.

Turut hadir Datuk Rais Yassin, Johari Yazid, Hairi Md Shah, Dr Akmal Salleh, Mohd Naim Mokhtar dan Mohd Sollehin Mohamad Tajie.

Hasmuni yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu memohon kepada semua akar umbi agar menyokong beliau pada pemilihan kali ini.

“Saya dengan rendah diri ingin memohon sokongan dari semua perwakilan Pemuda di seluruh negara.

“Semoga UMNO akan terus bangkit dan meneruskan legasi perjuangan agama, bangsa dan tanahair,” jelas beliau.

Persidangan Cawangan telah bermula pada 1 Februari yang lepas dan berakhir pada 26 Februari akan datang.

Mesyuarat sayap Pemuda peringkat bahagian akan diadakan pada 11 Mac 2023 dan Mesyuarat UMNO Bahagian akan diadakan pada 18 Mac 2023 secara serentak seluruh Malaysia. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.