Adakah Kerajaan Kedah Cuba Lindungi Peneroka Haram REE? – Shaiful

ALOR SETAR, 10 Feb – Siri tangkapan terbaharu yang melibatkan puluhan tenaga kerja warga asing yang disyaki melakukan penerokaan unsur nadir bumi (REE) secara haram adalah sangat mengecewakan rakyat Kedah terhadap kaedah Kerajaan Negeri terbabit menjaga sumber bumi negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaifol Hazizy Zainol Abidin berkata selaku pihak yang memegang kuasa tertinggi negeri Kedah, kecurian REE yang berlaku berkali-kali seolah isu ini dipandang remeh oleh Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang sering digambarkan konon seorang pemimpin prihatin kepada setiap permasalahan di negeri ini

Menurut beliau kecurian yang berlaku sekian lama dalam skala yang besar itu turut menggambarkan seluruh jentera penguatkuasaan undang-undang sama Ada Kerajaan Negeri, Pejabat Daerah, PBT, Jabatan Hutan atau PTG sangat lemah dalam mengawal sumber alam bernilai tinggi itu meskipun disedari penduduk tempatan di sekitar kawasan terbabit.

“Lebih malang, kes kecurian tersebut kononnya hanya disedari Muhammad Sanusi setelah ‘kemalangan’ membabitkan REE dicuri itu berlaku. Malah sangat pelik apabila seorang sahaja yang dihukum dan hanya dikompaun RM500,000 oleh Pejabat Pengarah Tanah & Galian (PTG) Kedah dan RM130,000 oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), sedangkan disyaki hasil yang dicuri selama tempoh tersebut dijangka bernilai berjuta ringgit.

“Adalah sangat pelik apabila hanya seorang sahaja penceroboh warga China yang ditangkap sebelum ini, hanya dikenakan kompaun kecil dan tidak pula dikenakan tindakan mahkamah.

“Tindakan itu menunjukkan seolah ada pihak di Wisma Darul Aman cuba melindungi sindiket ini daripada tindakan undang-undang dan secara tak langsung jenayah curi REE ini kekal rancak akibat daripada penguatkuasaan yang begitu lemah,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO Online.

Shaiful seterusnya berkeyakinan kumpulan warga asing ini ‘terlajak berani’ serta besar kepala hingga berkali-kali melanggar undang-undang selain menghantar puluhan tenaga buruh dan jentera-jentera berat yang mahal seolah tidak takut sekiranya dirampas atau disita pihak berkuasa kerana mereka mendapat ‘lesen besar’ daripada pihak tertentu.

“Dalam situasi ini, ianya dilihat memberikan suasana yang sangat selesa dan kondusif kepada si penceroboh dan si pencuri REE untuk menyamun lebih banyak REE supaya dapat dieksport balik ke negara China.

“Sudah semestinya jika si pencuri yang sentiasa dilindungi daripada tindakan undang-undang, mereka ini akan besar kepala dan terus mencuri kerana merasakan mereka kebal dan bebas untuk menyamun dan merompak.

“Lebih menghairankan juga, Sanusi kelihatan tergopoh-gapah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat yang baru berusia empat bulan dan sebuah syarikat China yang juga dipercayai sedang menjalankan eksplorasi di kawasan tersebut.”

Bidasnya, tindakan tersebut seperti menggalakkan aktiviti melibatkan REE di Kedah walaupun tanpa prosedur operasi standard (SOP) daripada Kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan.

“Secara peribadi, saya khuatir ada ‘bangkai yang sangat membusuk’ yang cuba disembunyikan di Wisma Darul Aman. Namun ‘bangkai’ tersebut masih belum dapat dikesan, dilihat dan dibuktikan dengan jelas.

“Pesan saya, berhati-hatilah kerana ramai yang sudah dapat menghidu ‘bau bangkai’ tersebut dengan jelas, hanya menunggu masa untuk dirungkai sahaja,” ujarnya.

Justeru beliau mencabar menteri besar negeri itu untuk tampil dan menafikan bahawa syarikat yang telah menandatangani MOU bersama Kerajaan Negeri baru-baru ini langsung dan sama sekali tidak terlibat dengan kes pencerobohan dan kecurian terbabit. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.