Tiga Jawatankuasa Utama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Fokus Kepentingan Rakyat, Negara

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia membuahkan hasil dengan membincangkan beberapa agenda penting dan mewujudkan tiga jawatankuasa utama.

“Mesyuarat yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi turut dihadiri oleh pimpinan utama parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Beberapa perkara penting telah dipersetujui dan tiga Jawatankuasa utama akan meneliti serta melihat beberapa agenda utama seperti Pilihan Raya Negeri, penyelarasan pelaksanaan manifesto, isu-isu kos sara hidup dan komunikasi Kerajaan Perpaduan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi dalam satu hantaran di Facebook.

Malam tadi, Mesyuarat Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan Malaysia telah berlangsung buat pertama kalinya di Menara Dato’ Onn, di sini.

Dalam satu sidang media selepas mesyuarat tersebut, Perdana Menteri berkata Majlis Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju untuk membentuk struktur pimpinan termasuk mewujudkan tiga jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Strategi, Jawatankuasa Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, struktur pimpinan tersebut ditubuhkan untuk memastikan setiap dasar kerajaan dipersetujui secara bersama oleh rakan gabungan.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Sekretariat mengumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff sebagai Setiausaha Agung Sekretariat, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat manakala ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.