Demokrasi Dalam UMNO Tetap Subur, Keputusan Diambil Secara Konsensus – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Demokrasi dalam UMNO tetap meriah meskipun dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan seperti yang diputuskan oleh perwakilan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan mengikut keperluan dan kesesuaian keadaan semasa.

“Saya tengok akhir-akhir ini bukan sahaja orang luar tetapi orang dalam parti pun yang mungkin terkesan dengan beberapa isu berkaitan mengatakan tidak ada demokrasi dalam UMNO. Saya ingin bertanya siapa yang berani ‘claim’ mengatakan bahawa definisi demokrasi seseorang tersebut adalah yang paling tulin dan tepat? Tidak ada.

“Sebab itu di Malaysia kita mengamalkan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan mengikut keperluan dan kesesuaian kita. Apa yang paling penting, ada pengundian, ada majoriti walaupun satu lebihnya, dialah pemenang. Itulah demokrasi,” katanya menerusi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online, semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berpendapat bahawa isu demokrasi ini timbul apabila berlaku apabila perwakilan PAU memutuskan agar dua jawatan terutama parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan serta berlaku pemecatan dan penggantungan ahli.

“UMNO ini timbul dua persoalan satu ialah soal tidak ada pertandingan untuk dua jawatan terutama, maka dikatakan tidak ada demokrasi. Kedua, berlaku pemecatan dan penggantungan, tidak ada demokrasi.

“Kalau kita lihat yang pertama, ianya diputuskan secara demokratik. Kalau diikutkan, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) boleh buat keputusan tetapi pada malam itu kita cakap ‘no’. MKT tidak boleh buat keputusan. Ini mesti diserahkan kepada perwakilan PAU.

“Apabila diserahkan kepada perwakilan, maka itu pun melalui proses iaitu penambahan usul yang dipersetujui oleh perwakilan. Perwakilan yang bersetuju. Perwakilan yang tidak bersetuju, tak sampai seratus orang. Apakah itu tidak demokratik? Perhimpunan Agung adalah badan yang tertinggi kalau mengikut Perlembagaan UMNO selain daripada MKT,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut menjelaskan bahawa pemecatan dan penggantungan ahli di dalam parti juga merupakan satu tindakan yang demokratik dan diputuskan secara konsensus.

“Kemudian soal pemecatan dan penggantungan. Adakah ini tidak demokratik? Sebenarnya sesiapa sahaja yang ‘tikam belakang’ itu juga adalah satu demokrasi. Tetapi apabila keputusan dibuat, jangan kata tidak demokratik terutama sekali apabila dikenakan tindakan dan sebagainya.

“Itu pun melalui proses cadangan daripada Lembaga Disiplin. Ada yang tidak mahu merayu, mereka itulah yang menolak demokrasi. Kita putuskan secara konsensus walaupun ada seorang dua yang tidak bersetuju,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.