Sekarang Masa Untuk Perkuat Strategi… Jangan Gusarkan Ahli Dengan Perubahan Pemimpin

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norshida Ibrahim berpendapat bahawa sekarang bukan masanya untuk menambah kegusaran hati ahli parti dengan perubahan pemimpin sebaliknya memulihkan keadaan dan memperkuat strategi.

Ini kerana katanya, pada saat ini ahli Wanita UMNO memerlukan seorang pemimpin yang menenangkan jiwa untuk terus bekerja dalam parti.

“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, kata-kata Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad dapat menitiskan air mata serta membangkitkan jiwa semangat perjuangan ahli Wanita UMNO seluruh negara.

“Sebagai seorang yang bekerja bersama Ketua Wanita UMNO Malaysia sehingga kini, saya pasti ahli wanita UMNO memerlukan seorang pemimpin yang menenangkan jiwa gelora serta mengkobarkan jiwa gemuruh untuk terus bekerja dalam parti tercinta ini.

“Tenangnya, jiwa keibuannya, tegas dalam lembutnya, ketelitiannya dan kesungguhannya memberi keyakinan kepada rata-rata Ketua-Ketua Wanita Bahagian untuk kekal setia, sabar menempuh rintangan cabaran situasi politik semasa serta dapat memberi membuatkan ahli untuk beri kepercayaan kepada tampuk kepimpinan UMNO,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, Datuk Seri Noraini mengekalkan prinsip untuk membawa ahli terus bekerja buat parti.

“Onak duri menjadi ketua saat genting sebuah organisasi tidak putus putus. Syukur, semangat Ketua Wanita UMNO Malaysia dapat mengalir kepada ahli ahli seluruh negara juga.

“Datuk Seri Noraini mengekalkan prinsip untuk membawa ahli terus bekerja buat parti lebih lebih lagi memberi kepercayaan bahawa usaha ahli wanita diperlukan kepada parti dan nyatanya benar,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kepimpinan yang diterajui oleh seseorang pastinya membuahkan hasil dan impak yang berbeza-beza.

“Kepimpinan yang diterajui oleh seseorang pastinya membuahkan hasil dan impak yang berbeza beza dan semua pemimpin yang pernah serta sedang berkhidmat pastinya kami hormati dan memberi sokongan.

“Sekarang bukan masanya untuk menambahkan lagi kegusaran hati ahli dengan perubahan pemimpin. Sekarang masanya untuk memulihkan keadaan dan memperkuatkan lagi strategi.

“Wanita UMNO Segamat menyokong kepimpinan Datuk Seri Noraini Ahmad. Semoga dipermudahkan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.