Pemilihan UMNO: Berkempen Ada Batasnya… Biarlah Akar Umbi Memilih

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menasihati para calon pemilihan kali ini untuk mempunyai batas dalam berkempen.

Tegasnya, sudah semestinya semua calon mahukan kemenangan tetapi berkempen secara keterlaluan tidak digalakkan.

“Dalam suasana pemilihan ini semua calon mahukan kemenangan. Tetapi, janganlah berkempen secara keterlaluan, aibkan dan sentuh peribadi calon lain.

“Berkempen pun ada batasnya. Jangan disebabkan sikap kita, calon yang kita cuba menangkan hilang sokongan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia itu turut mengingatkan para calon untuk menghormati keputusan akar umbi dan tidak menggunakan kaedah paksaan untuk meraih undi.

“Jangan gunakan kaedah paksaan. Biarlah akar umbi memilih.

“Hormati pendirian mereka. Biarlah mereka melaksanakan kuasa yang ada di tangan mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rosnah turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua ahli UMNO dan berharap agar persidangan tersebut menjadi wadah mengukuhkan perjuangan parti.

“Selamat bersidang saya ucapkan kepada semua ahli UMNO cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara yang telah bermula pada 1 Februari sehingga 26 Februari 2023.

“Semoga persidangan tahun ini berjalan lancar dan menjadi wadah mengukuhkan perjuangan parti serta mengangkat suara akar umbi demi agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.