Mesyuarat Cawangan Wajar Jadi Medan Sampaikan Denyut Nadi Ahli Kepada Pemimpin
KUALA LUMPUR, 6 Feb – Mesyuarat cawangan yang berlangsung sejak 1 Februari lalu wajar menjadi medan untuk menyampaikan denyut nadi sebenar ahli parti kepada pemimpin tanpa ditapis-tapis.
Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia (O2), Anis Anwar Suhaimi berkata, situasi dan mood mesyuarat cawangan kali ini cukup berbeza serta bakal mengalami cabaran besar kesan daripada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang lalu.
“Situasi dan mood mesyuarat cawangan kali ini cukup berbeza dan bakal mengalami cabaran yang lebih besar. PAU 2022 yang telah berlangsung masih mengundang reaksi bercampur baur dari kalangan ahli.
“Bagi mengelakkan sebarang perselisihan yang lebih besar di peringkat cawangan, isu setempat perlu lebih diutamakan berbanding kemelut kepimpinan nasional yang mengganggu fokus gerak kerja setempat.
“Tetapi pada masa yang sama, mesyuarat cawangan perlu menjadi medan untuk menyampaikan denyut nadi sebenar ahli parti kepada pemimpin tanpa ditapis-tapis,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, pemimpin utama UMNO hari ini perlu memahami sentimen pembersihan parti dari kaca mata pengundi dan memperincikannya kepada rakyat.
“Pemimpin utama UMNO hari ini perlu memahami sentimen pembersihan parti dari kaca mata pengundi sebagai pemegang taruh utama. Justifikasi jelas dan komunikasi efektif kepada rakyat kunci penerimaan pengundi terhadap tindakan drastik yang dilakukan.
“Punca pembersihan UMNO berbeza sentimennya dengan pembersihan PKR kerana mandat rakyat ketika itu tidak dihormati. Maka, asas moral bagi proses pembersihan ini perlu diperteguhkan jika mahu sokongan rakyat dipulihkan demi mengukuhkan parti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Anis Anwar turut berharap agar ahli parti dan akar umbi lebih mengutamakan fokus mereka kerana kepentingan parti serta sokongan rakyat perlu diutamakan pada masa ini.
“Ahli parti UMNO kini perlu mengutamakan fokus yang jelas di bawah bidang kuasa mereka.
“Kepentingan parti dan sokongan rakyat perlu diutamakan berbanding kemelut pimpinan nasional,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman