Kaedah Tingkat Pendapatan Kerajaan Jadi Cabaran Semua Negara – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Kaedah untuk meningkatkan pendapatan kerajaan sememangnya menjadi cabaran utama kepada semua negara.

Timbalan Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permintaan terhadap peruntukan tidak terhad berbanding pendapatan.

“Kaedah untuk tingkat pendapatan kerajaan memang jadi cabaran utama kepada semua negara.

“Permintaan peruntukan tidak terhad nilainya sedangkan pendapatan ada hadnya.

“Hasil cukai dan bukan cukai terus dicari bagi memastikan banyak boleh diberi kembali kepada rakyat,” katanya menerusi ciapan di laman Twitternya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian itu turut berpendapat bahawa pendapatan tinggi kepada rakyat wajar diutamakan.

“Pendapatan tinggi kepada rakyat wajar diutamakan. Perkara ini boleh dilakukan dengan pelaksanaan gaji minima, ekonomi berteras pelaburan dan pelaburan masuk yang berkualiti.

“Kita juga boleh mengurangkan ekonomi penggunaan dan menambah pengeluaran untuk mengurangkan harga barang.

“Memang sukar untuk mengawal permintaan, namun berbelanjalah secara berhemat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.