Gempa Bumi Turkiye: Asyraf Doakan Agar Urusan Pasukan SMART Dipermudahkan

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendoakan agar segala urusan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dipermudahkan bagi membantu kerja-kerja menyelamat mangsa gempa bumi di Turkiye.

Beliau turut berharap agar mereka dapat pergi dan pulang dalam keadaan selamat.

“Moga Allah permudahkan Pasukan SMART seramai 75 orang yang akan dihantar ke Turkiye malam ini bagi membantu kerja-kerja menyelamat kejadian gempa bumi yang sudah meragut nyawa 500 orang.

“Sama-samalah kita doakan kesejahteraan mereka dan Allah selamatkan perjalanan pergi dan kembali,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Seramai 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) digerakkan ke Turkiye bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan negara itu, malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, proses penghantaran mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye.

Katanya, pasukan akan berlepas ke Turkiye menerusi penerbangan Turkish Alirlines dengan membawa bersama peralatan yang akan digunakan di dalam operasi SAR. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.