Semoga Kemeriahan Thaipusam Jadi Cerminan Masyarakat Madani – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar kemeriahan Thaipusam tahun ini menjadi cerminan masyarakat yang penuh keterbukaan dan saling menghormati.

Ahmad Zahid turut berharap agar kemeriahan Thaipusam ini diraikan dengan penuh harmoni dan kesederhanaan.

“Dari Georgetown di Pulau Pinang sehinggalah Batu Caves di Gombak, jutaan penganut agama Hindu akan merayakan sambutan ini dengan tekun dan kemeriahan.

“Buat semua, raikan kemeriahan ini dengan penuh harmoni dan kesederhanaan. Patuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi memastikan perayaan dapat disambut dengan lancar,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu.

“Mewakili seluruh keluarga besar KKDW, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Thaipusam kepada semua khususnya penganut agama Hindu di negara ini.

“Diharapkan kemeriahan Thaipusam pada tahun ini menjadi cerminan masyarakat #MalaysiaMADANI yang penuh keterbukaan dan saling hormat menghormati sesama warganya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.