Selamat Hari Thaipusam, Semoga Kepelbagaian Perayaan Jadi Wahana Permuafakatan Kaum – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Naib Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada semua penganut agama Hindu di seluruh negara.

Beliau turut berharap agar perayaan ini disambut dengan penuh pengertian, kebahagiaan dan keceriaan.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam buat seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Hindu walau di mana sahaja berada.

“Sambutlah perayaan Thaipusam ini dengan pengertian yang mendalam, kebahagiaan dan keceriaan bersama keluarga serta rakan taulan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Ismail berharap agar kepelbagaian perayaan akan menjadi wadah permuafakatan antara semua kaum di negara ini.

“Keharmonian dan silang budaya melalui kepelbagaian perayaan menjadi sumber kekuatan kita, tanpa mengira apa jua latar belakang serta warna kulit.

“Semoga kepelbagaian perayaan juga menjadi wahana permuafakatan dan sifat saling sayang di antara semua kaum di negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.