‘Sedekah’ Pengundi: Muhyiddin Dan Hadi Perlu Jawab Di Mahkamah – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil meminta Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk menjawab takrifan ‘sedekah’ kepada pengundi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di mahkamah.

Jelasnya, sekiranya sumber berbilion ringgit itu datang kepada semua kerusi dipertandingkan, beliau berpendapat semua kerusi yang PN menangi perlu dibatalkan.

“Kalau sumber berbilion-bilion itu datang kepada semua kerusi yang mereka pertandingkan, bukan sekadar tiga atau empat kerusi perlu dibatalkan. Saya rasa kesemua 74 kerusi yang mereka (PN) menang itu patut dibatalkan.

“…sebab mereka menang 74 kerusi tersebut menggunakan duit haram. Takkan kita nak bagi ahli Parlimen yang mewakili mereka ini menang sebab merasuah pengundi?” katanya ketika menyampaikan Taklimat Isu-Isu Semasa di Terengganu, semalam.

Menurut Isham, perkara tersebut dibawa ke mahkamah kerana pelbagai takrifan telah dikeluarkan oleh mereka dan biar Hakim yang menentukan takrifan sebenar.

“Jadi, sebab itu kita bawa perkara ini ke mahkamah. Sebab ada macam-macam takrifan. Haji Hadi cakap ‘sedekah’. Saya kata senang cerita, kita bawa pergi mahkamah.

“Biar Hakim yang tentukan mana satu takrifan betul. Awak pula jadi kluster mahkamah. Awak jawablah di sana,” katanya lagi.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah membuka kertas siasatan berhubung pemberian wang tunai ketika kempen pilihan raya seperti dilihat dalam satu video yang berlaku di Terengganu.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki sementara itu berkata pemimpin Pas boleh mentafsirkan tindakan pemberian wang tunai ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 mengikut cara mereka, namun perkara itu sedang disiasat berkaitan pembelian undi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.