Pemilihan UMNO: Nurul Hazwani Tawar Diri Tandingi Jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Hazwani Haslan, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO pada pemilihan akan datang.

Jelasnya, beliau percaya Pergerakan Puteri UMNO merupakan sebuah sayap yang boleh memainkan peranan penting dalam membantu golongan wanita muda mendepani cabaran.

“Saya percaya Pergerakan Puteri UMNO merupakan sebuah sayap dan wadah yang boleh memainkan peranan penting dalam mencorak serta membantu orang Melayu Bumiputra terutama golongan wanita muda dalam mendepani cabaran dunia yang serba moden ini.

“Hari ini, jika kita mengambil keputusan untuk bersaing tanpa membuat apa-apa persediaan, kita akan dilihat terkebelakang apabila seluruh dunia bergerak ke hadapan. Realitinya, hanya untuk ‘Keep Up’ kita perlu bergerak dua kali ganda dari kelajuan yang sedia ada,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Hazwani, beliau percaya apabila diberi peluang untuk mengemudi sayap berkenaan, visi dan misi ditawarkan pasti jelas serta mampu dilaksanakan.

“Saya percaya apabila diberi peluang untuk mengemudi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, visi dan misi yang ditawarkan pasti jelas serta mampu dilaksanakan dengan pelbagai agenda akan dirangka bagi terus memperkasakan wanita muda terutamanya bakal pewaris kepimpinan negara.

“Kerangka agenda politik sihat dengan teras kepimpinan, perkaderan, pendidikan, motivasi, kesihatan dan kerjaya serta usrah rohani khusus buat wanita muda akan menjadi fokus sepanjang tempoh kepimpinan bagi mengharungi dunia yang penuh dengan cabaran,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berhasrat untuk menjadikan Pergerakan Puteri UMNO sebagai sayap yang mendukung institusi parti.

“Saya juga mahukan Puteri ini menjadi sayap mendukung institusi UMNO dan menjadi sebuah pasukan yang dikagumi kawan serta digeruni lawan. Untuk merealisasikan matlamat ini, kita perlu bergerak sederap melangkah dan berpimpinan tangan serta jangan sekali-kali meruntuhkan saf yang dibina.

“Saya juga memberi jaminan bahawa saya tidak akan melangkah sendirian malah saya mahu maju bersama kalian. ‘We are in this together’. Dengan itu, saya ingin mewujudkan satu penanda aras baharu untuk Pergerakan Puteri UMNO yang akan dinilai oleh semua pada masa hadapan seiring dengan perubahan landskap politik semasa serta pengukuhan dalam parti demi untuk negara, agama dan bangsa.

“Justeru dengan ini, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO pada pemilihan penggal kali ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.