Jawatan Presiden, Timbalan Presiden Pernah Tidak Dipertandingkan… Tidak Langgar Perlembagaan Parti – Ahmad Said

KUALA TERENGGANU, 5 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berpandangan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan telah lama berlaku serta mengikut perlembagaan parti.

Jelas beliau, perkara ini bukannya pertama kali berlaku dalam UMNO malah sejarah telah membuktikan jawatan tersebut tidak dipertandingkan semasa era Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini bukannya isu yang kali pertama berlaku dalam UMNO… Cuba lihat sejarah sama ada bertanding atau tidak jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Ianya tidak pernah jadi masalah malah era zaman bekas Presiden iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berlaku dan ianya termaktub dalam perlembagaan parti.

“Kita ini ikut perlembagaan UMNO bahawa badan tertinggi mengikut keputusan dari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini. Apabila ada usul dibawa, Pengerusi tetap UMNO mempunyai kuasa untuk menolak atau pun sebaliknya tetapi beliau meminta perwakilan membuat keputusan.


“Terdapat lebih daripada 90 peratus perwakilan bersetuju bahawa jawatan tersebut tidak dipertandingkan kerana kita akan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dan sekiranya dipertandingkan, ianya akan menjadi masalah buat parti apabila berhadapan dengan pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penerangan Isu-Isu Semasa yang diadakan di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, Ketua Penerangan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku serta kepimpinan empat peringkat seluruh negeri.

Dalam pada itu Ahmad mengharapkan agar akar umbi UMNO dapat hadir memberikan pandangan pada mesyuarat cawangan dan bahagian serta mematuhi perlembagaan parti.

“Mesyuarat cawangan dan bahagian telah diadakan serentak di seluruh negara untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini dan saya menyeru kepada seluruh kepimpinan UMNO supaya mengadakan mesyuarat mengikut tarikhnya masing-masing dan prosedur yang telah ditetapkan.

“Kita berharap agar tidak ada sebarang kekecohan dan bersidanglah dalam keadaan yang harmoni. Kita sedar bahawa parti ini kalah pada pilihan raya lalu dan kita perlu terus melakukan penyatuan dari akar umbi bagi mempertahankan parti ini,” ujarnya.

Tegasnya, tugas yang paling besar yang akan dihadapi oleh ahli parti dan kepimpinan negeri ialah memenangi dan bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) serta menjadi kerajaan negeri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.