Pas Jangan Guna Nama Allah, Keluarkan Dalil ‘Halalkan’ Rasuah – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil meminta Pas untuk tidak menggunakan nama Allah dalam isu merasuah pengundi mahupun mengeluarkan ‘dalil’ bagi menghalalkan perbuatan tersebut.

Jelasnya, Perikatan Nasional (PN) telah membuat rundingan terus projek kerajaan sebanyak berbillion ringgit semasa berkuasa dan berbelanja besar semasa pilihanraya meskipun hampir semua institusi lain serta rata-rata rakyat Malaysia mempunyai kesempitan kewangan selepas darurat pandemik COVID-19.

“Sebenarnya menjadi masalah ialah apabila seseorang pemimpin politik atau sesuatu parti politik menggunakan dana daripada sumber-sumber haram dan rasuah berbillion ringgit untuk berkempen serta merasuah pengundi.

“…dan apabila ditanya berkenaan rasuah pengundi yang disuruh bersumpah untuk mengundi Pas dengan bayaran wang ringgit itu mereka keluarkan ‘dalil’ bahawa bayaran itu kononnya sedekah.

“Pada masa yang sama mereka telah membuat rundingan terus projek kerajaan sebanyak berbillion ringgit semasa mereka berkuasa dan tiba-tiba mereka berbelanja besar semasa pilihanraya walaupun hampir semua institusi lain serta rata-rata rakyat Malaysia mempunyai kesempitan kewangan selepas darurat pandemik COVID-19. Hanya PN bermewah-mewah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, Pas perlu menjawab segala persoalan dari mana datangnya duit tersebut, yang besar kemungkinannya daripada sumber haram dan rasuah projek serta salahguna dana kerajaan.

“Oleh itu kali ini mereka perlu jawab berkenaan dari mana mereka dapat duit ini yang besar kemungkinannya daripada sumber haram dan rasuah projek serta salahguna dana kerajaan.

“Saya nasihatkan kepada Pas supaya jawab berkenaan perkara ini dan jangan guna nama Allah untuk rasuah pengundi mahupun keluarkan ‘dalil’ untuk menghalalkan yang haram. Usah menuding jari kepada orang lain untuk mengalihkan perhatian daripada kesalahan diri sendiri. Bertaubatlah dan kembalilah ke pangkal jalan,” katanya lagi.

Isham berkata demikian menjawab kenyataan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

“Sebelum ini saya pernah nyatakan, mengikut undang-undang, sebenarnya hanya orang peribadi atau parti politik boleh kutip sumbangan untuk politik, akaun NGO dan syarikat tidak boleh digunakan kerana mempunyai memorandum pertubuhan bukan untuk politik.

“…dan betul saya ada buat ‘fundraising’ guna akaun sendiri sebelum PRU ke-15 dahulu, dan ini bukanlah rahsia. Akaun ini juga diuruskan oleh jawatankuasa kewangan yang dianggotai oleh lima orang dan dipantau oleh Bank Negara dan Bank Rakyat. Dibuka khusus untuk dana politik dan bukan untuk kegunaan lain.

“Butir-butir kutipan sumbangan ini dan semua rekod perbelanjaannya telahpun saya serahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam laporan penyata kewangan pada bulan lalu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, akaun tersebut dibuka sebagai contoh untuk cadangan Akta Pendanaan Politik yang beliau perjuangkan supaya politik di Malaysia ini lebih telus dan bersih.

“Sebelum ini saya telah nyatakan bahawa saya buka akaun ini dan laksanakan ‘fundraising’ ini sebagai contoh dan ‘template’ untuk cadangan Akta Pendanaan Politik yang saya perjuangkan selama ini dan akan terus perjuangkan.

“Akta ini penting supaya politik di Malaysia ini lebih telus dan bersih, supaya anak-anak muda yang mempunyai niat baik serta aspirasi untuk berkhidmat dalam politik di negara ini boleh meraih dana dan berjuang walaupun mereka tidak kaya raya serta tidak korup.

“Jika tidak, politik di Malaysia ini mungkin akan hanya dikuasai oleh orang-orang kaya, korup atau kedua-duanya sekali. Ini tidak baik,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.