Mesyuarat Cawangan Manifestasi Kebangkitan, Rangka Strategi Beri Pendidikan Politik Generasi Muda

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan berpandangan mesyuarat Cawangan yang berlangsung pada ketika ini sebagai manifestasi kepada kerangka strategi dan kebangkitan parti.

Katanya, ini simbolik dalam mengamalkan sikap inklusif dengan bekerjasama baik dengan anak-anak muda dalam memberi pendedahan kepada pengundi seawal usia 18 tahun ini yang sudah diberikan peluang menjalankan tanggungjawab dalam proses demokrasi negara.

“Tidak dinafikan bahawa pemilihan pada peringkat cawangan ini sedikit sebanyak adalah usaha untuk mengukuhkan dan memantapkan semula UMNO yang bermula pada peringkat akar umbi.

“Saya ingin menyentuh sedikit tentang anak-anak muda yang seawal usia 18 tahun sudah diberikan peluang membuat keputusan menentukan hala tuju negara.

“Mereka telah pun diberikan tanggungjawab tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu. Meski pun ada yang pesimis mengatakan pengundi baharu PRU15 berusia 18 tahun ini tidak matang, mereka sudah pun berpartisipasi dalam arena politik negara,” katanya menerusi satu hantaran di Instgram.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu berkata parti politik termasuk UMNO perlu merangka strategi dalam meluaskan pendidikan politik dan memantapkan pengkaderan politik masing-masing dalam mendekati golongan ini.

“Pepatah lama Melayu, jika hendak melentur buluh, mulakan dari rebungnya. Saya fikir ini langkah yang betul untuk mendampingi dan mengajak anak-anak muda berpartisipasi bersama-sama dengan UMNO.

“Ini juga sebahagian daripada usaha perubahan yang sedang kita lakukan. Menyantuni dan menyikapi anak-anak muda dengan baik akan memberikan mereka ruang dan peluang untuk menilai UMNO dengan adil.

“Skuad Sabil Pemuda UMNO, Putera UMNO dan Siswa UMNO adalah wadah terbaik mendekati anak-anak muda 18 tahun ini. Kita ambil ini sebagai cabaran untuk mematangkan mereka dengan pendidikan politik yang baik.

“Mungkin juga Akademi Pemuda UMNO boleh dipertimbangkan sebagai langkah menginstitusikan pendidikan politik kepada generasi muda ini. Ya, semuanya tidak mustahil.,” ujar beliau.

Hasmuni dalam pada itu berkata pandangan daripada segelintir pihak yang mahu meminda semula untuk menaikkan had umur mengundi juga adalah tidak wajar.

“Malah, kedengaran juga suara yang ingin meminda semula usia memilih ini untuk naik kembali pada umur 21 tahun seperti sebelum ini. Saya fikir jika berlalu tindakan flip flop begini, ia akan menjadikan keadaan lebih parah dan kita sebagai pelakunya akan hilang kredibiliti dan integriti di mata umum.

“Di mata rakyat terbanyak, pelbagai langkah politik yang dibuat selepas PRU14 dan Parlimen tergantung pada PRU15 sudah cukup membosankan dan memenatkan mereka.

“Percaturan demi percaturan di kalangan parti-parti politik untuk menerajui kepemimpinan negara telah dilihat sebagai langkah sumbang seolah-olah rakyat tidak perlu pun membuat pilihan di peti undi.

“Maka, sempena persidangan Cawangan-Cawangan kali ini, mari kita bersikap jujur dan ikhlas memulihkan UMNO yang sedang ditolak beransur-ansur ini,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.