Kes Tuntutan Waris Sulu: Tommy Thomas Perlu Bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas perlu memikul tanggungjawab di atas penghakiman yang menyebabkan harta Malaysia di seluruh dunia hampir terancam, kata pengamal undang-undang, Kamarudin Ahmad.

Jelasnya, kemenangan Malaysia ke atas tuntutan saman waris Sulu telah dijangka kerana pihak arbitrator di Sepanyol tidak mengikut prosedur yang ditetapkan dan kedudukannya turut dipertikaikan.

“Kemenangan Malaysia ke atas saman waris Sulu telah pun dijangka. Ini kerana pihak arbitrator di Sepanyol sendiri bertindak tidak ikut prosedur dan kedudukan beliau sebagai arbitrator turut dipertikaikan.

“Kedudukan Malaysia terjejas akibat kecuaian pihak Tommy Thomas mengeluarkan satu surat yang dianggap sebagai mengiktiraf tuntutan waris Sulu. Surat tersebut telah memberi justifikasi kepada arbitrator untuk memberi keputusan yang memihak kepada mereka,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Kamarudin, negara memerlukan seorang pemimpin yang bijaksana, kompeten dan bijak dalam ilmu perundangan terutamanya dalam melindungi kedaulatan negara.

“Negara memerlukan pemimpin yang bijaksana, kompeten dan arif dengan ilmu undang-undang. Dengan cara ini, pemimpin negara dapat menilai sesuatu isu dengan lebih mendalam terutamannya dari sudut perundangan.

“Meskipun Perdana Menteri dinasihati oleh Peguam Negara untuk memutus sesebuah keputusan, adakalanya nasihat yang diberikan adakalanya tidak lengkap ataupun mungkin khilaf,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa syukur apabila akhirnya negara berjaya mengenepikan tuntutan waris Sulu dan berharap agar bekas peguam negara itu bertanggungjawab di atas tindakannya terdahulu.

“Sememangnya Tommy Thomas selaku bekas Peguam Negara perlu memikul tanggungjawab di atas penghakiman yang dibuat sehingga menyebabkan harta negara di seluruh dunia terancam.

“Mujurlah kepimpinan yang ada hari ini telah berjaya menyelamatkan Malaysia dari malapetaka tuntutan waris Sulu,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu-individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu selepas Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perintah penahanan itu dipohon oleh ‘penuntut’ berkenaan pada 11 Julai tahun lalu.

Waris Kesultanan Sulu sebelum ini dilaporkan telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (final award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana, termasuk rangkaian aset milik Petronas. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.