Kenyataan Sahih Mesti Melalui Kenyataan Akhbar… Elak Kekeliruan Dan Percanggahan – Megat Zulkarnain

SHAH ALAM, 3 Feb – Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor membuat pendirian bahawa sebarang keputusan dan pandangan daripada parti, mestilah dibuat melalui proses kenyataan media ataupun siaran secara sah.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, ianya bukan bermakna untuk menghentikan suara individu, tetapi bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Semasa mengambil alih jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, saya bersama Badan Pengurusan UMNO Negeri, Datuk Johan Abdul Aziz telah membuat pendirian bahawa apa sahaja perkara berkaitan keputusan parti mestilah dibuat melalui proses kenyataan akhbar ataupun siaran secara sah.

“Ia bukan bermakna kita mahu menghentikan kenyataan bersifat individu tetapi untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, maka kenyataan ini harusnya datang hasil daripada mesyuarat dan perbincangan,” katanya pada satu sidang media yang diadakan di sini, petang tadi.

Jelasnya, beliau bersama barisan kepimpinan UMNO Negeri Selangor telah mengambil maklum tentang tarikh-tarikh penting Pemilihan UMNO dan telah menetapkan pemantau di peringkat negeri.

“Pertama sekali, kita telah mengambil maklum berkenaan tarikh mesyuarat perwakilan cawangan, mesyuarat agung bahagian peringkat cawangan-cawangan, sayap-sayap dan juga tarikh pemilihan di peringkat bahagian.

“Kita mengambil maklum bahawasanya UMNO Malaysia telah mengarahkan semua mesyuarat cawangan-cawangan perlu bermula pada 1 Februari sehingga ke hujung bulan dan pada 11 Mac akan berlangsung mesyuarat perwakilan sayap-sayap untuk memilih kepimpinan sayap-sayap baharu di peringkat bahagian dan pusat.”

Ujarnya, pada 18 Mac akan diadakan pemilihan di peringkat bahagian dan jawatankuasanya serta kepimpinan di peringkat UMNO Pusat.

“Di peringkat Negeri Selangor Saya ingin memaklumkan jawatankuasa pemilihan UMNO akan dipimpin oleh Pengerusinya, Datuk Salamon Selamat Dan jawatankuasanya. Jadi, Datuk Salamon akan menjadi pemantau bagi pemilihan di peringkat negeri Selangor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain turut merakamkan ucapan penghargaan kepada bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar di atas khidmat beliau sebelum ini dan mendukung keputusan yang telah dibuat oleh parti.

“Kita mengambil maklum atas situasi yang berlaku hari ini hasil daripada keputusan yang telah dimaklumkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini. Pastinya UMNO Negeri Selangor merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Noh Omar yang selama ini telah memimpin UMNO Selangor.

“Walaupun demikian, kesemua 22 UMNO Bahagian Negeri Selangor mendukung dan akan sentiasa mempertahankan keputusan yang telah diputuskan oleh MKT melalui saranan Lembaga Disiplin UMNO.

“Walau bagaimanapun, saya fikir itu adalah keputusan yang mesti dipatuhi di semua peringkat parti. Esok saya akan ke UMNO Bahagian Tanjung Karang untuk bertemu keseluruhan kepimpinan di semua peringkat supaya meneruskan semangat untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.