Akaun PPBM Dibeku, Muhyiddin Patut Belajar Daripada UMNO – Puad

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan menasihati parti itu untuk belajar daripada UMNO.

Katanya ini membabitkan akaun bank parti itu yang telah dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPMR) sejak lebih dua minggu lalu.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin mohon supaya SPRM batalkan pembekuan akaun parti PPBM. Alasannya parti itu akan sukar membayar gaji staf.

“Ini Muhyiddin kena belajar dengan UMNO. Sengsaranya UMNO bila akaun kena beku, bertahun akaun UMNO kena beku. Baru dua hari lepas rayuan membekukan akaun UMNO ditarik balik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, PPBM menghantar surat kepada SPRM bagi membatalkan pembekuan akuan parti itu sebaik siasatan ke atas akaun parti diselesaikan.

Difahamkan, pembekuan akaun itu berkaitan dengan siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan pandemik COVID-19.

Untuk rekod pada 2018, UMNO turut berhadapan situasi sama apabila SPRM membekukan akaun di peringkat Pusat dan UMNO negeri Selangor.

Bagaimanapun pada awal 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa wang UMNO yang dibekukan itu bukan daripada Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan 1MDB. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.