Mesyuarat Cawangan Medan Pengukuhan UMNO, Kembalikan Semangat Juang – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap mesyuarat Cawangan kali ini sebagai medan untuk memperkasa kesepaduan dalam kalangan ahli parti.

Katanya perkara itu penting dicapai sebagai simbolik kepada kebangkitan parti keramat ini selepas berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Selamat bersidang kepada semua Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO seluruh negara bermula 1 Februari sehingga 26 Februari 2023.

“Jadikan mesyuarat cawangan kali ini medan untuk mengembalikan semangat juang memperkukuhkan parti yang terkesan hebat akibat kekalahan parti dalam PRU15 juga untuk memperkukuhkan solidariti sesama kita,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, mesyuarat Cawangan dan pemilihan bagi jawatankuasa Cawangan, Pemuda, Wanita dan Puteri Cawangan akan berlangsung selama 26 hari sehingga 26 Februari ini.

Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO juga akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Manakala, mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.