Jangan Bimbang… Biar Tidak Tidur Sebilik, BN/PH Tidak Curang – Saiful Hazizy

KUALA LUMPUR, 2 Feb – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar tidak bimbang dengan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dengan melontarkan pelbagai dakwaan sinis termasuklah kononnya umpama tidak tidur sebilik.

Secara bersahaja pula Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin berkata mereka tahu batas hubungan berkenaan walaupun duduk berada dalam satu rumah dan tidak tidur sebilik kerana fokus sebenar adalah untuk kepentingan negara dan seluruh rakyat.

“Saya rasa terpanggil untuk menjawab tohmahan negatif Menteri Besar Kedah, Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang kononnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat tidur sebilik sebagaimana yang dilapor media semalam.

“Untuk makluman Sanusi, kami BN dan PH berada dalam keadaan “terpaksa berkongsi rumah” tapi tidak perlu tidur sebilik. BN dan PH ada bilik, ruang dan hak masing-masing yang kami saling hormati.” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.

Tegas beliau BN dan PH bukan seperti Pas dan PPBM yang sanggup berselingkuh tidur sebilik meskipun belum bernikah.

“Sudahlah tidak setia, Pas dan PPBM selamba bersikap curang, talam bermuka-muka, tanpa rasa bersalah, menikam saudara sendiri dari belakang. Sanusi usah bimbang, BN dan PH tahu batasnya dan fokus kami ialah untuk saling membangun Malaysia Madani bagi masa depan negara yang tercinta.

“Saranan saya buat Sanusi, belajarlah mengawal diri supaya beradab di dalam kancah politik. Sekurang-kurangnya contohilah Almarhum Tan Sri Ust Azizan Razak yang mulia adab, tidak gelojoh dan bijak menghormati walau musuh politiknya. Barulah kita dihormati kawan dan lawan.

“Fokus kepada tanggungjawab sebagai pemimpin negeri, jangan cuai lagi sampai berjuta ringgit REE hilang di depan mata Menteri Besar.” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.