UMNO Wajar Dibersihkan… Elak ‘Duri Dalam Daging’, ‘Gunting Dalam Lipatan’ – Abd Rahman

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Pembersihan parti wajar dilakukan sekiranya terdapat individu yang melakukan kesalahan sehingga mencemarkan imej parti, secara tidak langsung menjadi ‘duri dalam daging’.

Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, tindakan tersebut wajar dilakukan dan seluruh ahli perlu akur dengan ketetapan yang dilaksanakan.

“Di dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini saya telah tegaskan bahawa pembersihan parti hendaklah dilakukan jika terdapat individu yang benar-benar membuat kesalahan, mencemarkan imej parti, cuba menjatuhkan dan memburuk-burukkan pemimpin sendiri.

“Lebih baik dibersihkan supaya selepas ini tidak ada lagi ‘duri dalam daging’ dan ‘gunting dalam lipatan’ yang mungkin akan merencatkan perjalanan parti pada masa yang akan datang.

“Bagi saya, tindakan tersebut wajar dilakukan dan telah pun diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana itu adalah bidang kuasa mereka. Jadi, kita perlu akur dengan keputusan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Abd Rahman turut berharap agar proses pemilihan parti akan berjalan dengan lancar dan terus hormat-menghormati antara satu sama lain tidak kira apa jua keputusan yang diterima.

“Di peringkat bahagian, apabila berlaku pemilihan kita berharap agar ianya berjalan dengan baik dan lancar demi menegakkan perjuangan parti. Kita juga harap bahawa ahli-ahli yang setia kepada parti ini akur kepada mereka yang telah dipilih dan saling menghormati tidak mengira kalah atau menang.

“Pada pandangan saya, sekiranya tiada sebarang masalah di sesuatu bahagian itu, eloklah jika tiada pertandingan dijalankan. Ukhuwah dan perpaduan yang telah sedia terjalin itu diharapkan akan terus kekal sampai bila-bila, bergantung kepada kebijaksanaan sesuatu bahagian tersebut mengendalikannya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.