Aplikasi Persidangan Cawangan Untuk Semarakkan Perjuangan UMNO Depani PRN

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Barat, Muhamad Iqbal Jamal Jamaludin berharap ahli-ahli UMNO di seluruh negara akan mengaplikasi mesyuarat peringkat Cawangan dan Pemilihan UMNO bagi menyemarakkan kembali perjuangan parti.

Katanya, penghayatan kepada asas dan tujuan perjuangan UMNO iaitu demi mendukung cita-cita bagi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanah air harus terus dilaksana demi masa hadapan.

“Apatah lagi selepas UMNO berdepan dengan gelombang besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu di samping Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 dan juga keputusan terbaharu Majlis Kerja Tertinggi yang tentunya menjadikan parti ini mengalami landskap politik berbeza daripada keadaan sebelumnya.

“Justeru mesyuarat Cawangan UMNO dan pemilihan parti yang dilaksana bermula 1 hingga 26 Februari ini adalah peluang terbaik kepada anggota parti untuk kembali bertaut memperkukuh dan memperteguh perjuangan,” katanya kepada UMNO Online.

Sehubungan itu, beliau amat menghargai sokongan anggota akar umbi semua peringkat dan berharap agar perjuangan parti sentiasa menjadi fokus dan agenda utama.

“Kita akui terlalu banyak idea atau perbezaan namun mesyuarat yang ada inilah ruang untuk kita satukan percambahan dan membentuk muafakat yang lebih jitu bagi mendepani cabaran masa hadapan.

“Ini termasuklah Pilihan Raya Negeri (PRN) yang tentunya akan berlangsung tidak lama lagi, maka ia akan menjadi kayu ukur kepada UMNO membentuk kesatuan menawan kembali negeri-negeri yang telah jatuh kepada pihak lawan.

“Kita melangkah ke hadapan, kita mestu terus maju dan kita perlu sepakat bersama-sama menyemarakkan perjuangan UMNO yang selama ini menjadi teras dalam kehidupan kita yang berpaksikan agama, bangsa dan negara.”

Jelas beliau, ahli-ahli UMNO diperingkat Cawangan adalah tunjang kekuatan parti yang mesti terus ampuh mempertahankan warisan perjuangan.

“UMNO adalah parti yang berorganisasi, mempunyai Perlembagaan dan etika yang jelas malah asas tujuan yang nyata adalah antara sebab utama ianya perlu terus relevan dan dipertahankan,” katanya lagi.

Dilaporkan, mesyuarat Cawangan dan pemilihan bagi jawatankuasa cawangan, pemuda, wanita dan puteri cawangan akan berlangsung selama 26 hari sehingga 26 Februari ini sementara Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac depan.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan PUteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu). – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.