Kes Kesultanan Sulu: Tommy Thomas Peguam Negara Gagal – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas gagal menjalankan tugasnya sehingga menyebabkan Malaysia hampir perlu membayar pampasan kepada waris Sultan Sulu.

Beliau turut mempersoalkan apakah langkah seterusnya setelah Malaysia berjaya memenangi kes saman Kesultanan Sulu dan mengenepikan perintah menyita aset syarikat cari gali Petronas di Azerbaijan dan Caucasus Selatan.

“Apa seterusnya setelah Malaysia menang kes saman oleh waris Kesultanan Sulu. Mahkamah di Luxembourg mengetepikan perintah menyita aset syarikat cari gali Petronas di Azerbaijan dan Caucasus Selatan.

“Mahkamah timbang tara di Paris sebelumnya putuskan Malaysia mesti bayar pampasan sebanyak RM63.3 bilion kepada waris Sultan Sulu.

“Surat Tommy Thomas pada tahun 2019 dijadikan alasan. Surat yang menyatakan Malaysia kesal kerana menghentikan bayaran pampasan mulai 2013 dijadikan bukti Malaysia mengaku salah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Jelasnya, bayaran pampasan tersebut dihentikan kerana kes pencerobohan Lahad Datu yang berlaku pada tahun 2013 sehingga mengorbankan sepuluh anggota keselamatan.

“Bayaran pampasan dihentikan kerana pencerobohan Lahad Datu. Sepuluh anggota keselamatan terkorban kerana pencerobohan itu.

“Tidakkah Tommy Thomas bertanggungjawab? Sudahlah hilang Pulau Batu Putih, Malaysia nyaris hilang aset dan kena bayar pampasan. Tommy Thomas Peguam Negara yang gagal.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia memperoleh kemenangan penting terhadap individu-individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu selepas Mahkamah di Luxembourg pada 24 Januari lalu mengetepikan perintah penahanan yang dipohon oleh pewaris berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perintah penahanan itu dipohon oleh ‘penuntut’ berkenaan pada 11 Julai tahun lalu.

Waris Kesultanan Sulu sebelum ini dilaporkan telah mengemukakan permohonan bagi mengiktiraf dan menguatkuasakan perintah (final award) di Mahkamah Belanda terhadap aset-aset Malaysia di sana, termasuk rangkaian aset milik Petronas. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.