Jangan Campuri Urusan Jawatan TPM, Faizal Azumu Sepatutnya Fokus Kluster Mahkamah PPBM – Isham

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil hari ini menempelak Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Faizal Azumu ekoran kenyataan terbaharunya membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamadi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Katanya ini kerana bekas Ahli Parlimen Tambun itu tidak perlu mencampuri perkara tersebut dan sepatutnya fokus untuk bersedia dengan rakan-rakan dalam partinya yang akan dihadapkan ke mahkamah akibat kes rasuah dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan.

“Faizal Azumu, saya cadang supaya kamu tidak perlu sibuk berkenaan urusan jawatan Timbalan Perdana Menteri, jawatan ini adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri untuk menentukan, bukannya kamu atau parti kamu PPBM.

“… daripada kamu sibuk dengan kes mahkamah orang lain dan pemimpin-pemimpin UMNO yang telah berlangsung selama lebih empat tahun di mahkamah akibat pendakwaan-pendakwaan terpilih oleh pemimpin-pemimpin dari parti kamu dulu.

“Saya saran supaya kamu atau rakan-rakan dalam parti kamu bersedia untuk dihadap ke mahkamah pula dan menjadi kluster mahkamah 2.0 kini akibat kes rasuah pengundi dan skandal penyalahgunaan dana kerajaan yang terbesar dalam sejarah Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas beliau ini kerana sebelum ini semasa Perikatan Nasional (PN) dalam kerajaan, puak-puak mereka banyak terlepas daripada pendakwaan kes jenayah apabila wakil-wakil rakyat parti itu bertindak melompat parti.

Tambah beliau, segala tindakan pemimpin parti itu sebelum ini tidak akan terlepas daripada proses pengadilan dan perlu bersedia dengan kritikal mereka selepas ini.

”Adakah kamu rasa kamu atau rakan-rakan kamu akan dapat terlepas begitu sahaja lagi kali ini dengan mengalih perhatian kepada isu orang lain dan dengan memanggil rasuah kamu itu sedekah? Rakyat tidak akan lupa kes-kes ini.

“Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Kamu perlu fokus kepada masalah kritikal kamu dan parti kamu ini.

“Sesiapa yang melakukan jenayah dan rasuah tidak boleh terlepas dari pengadilan, di dunia atau di akhirat. Bersiaplah,” tegas beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.