Lihat Diri Sendiri Sebelum Tuding Jari Pihak Lain – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 24 Jan – pimpinan PN hari ini dibidas dan masing-masing diingatkan agar melihat diri mereka terlebih dahulu sebelum menimbulkan kenyataan yang tidak sewajarnya terhadap pihak lain.

Perkara ini dinyatakan Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil  terhadap Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung soal rasuah pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Khairil, Fadhli, dulu dan kini puak-puak kamu (PN) yang suka tuduh orang lain rasuah dan kononnya kamu bersih. Tetapi baru dilihat kini bahawa sebenarnya puak-puak kamu yang paling banyak rasuah orang. Tanpa segan silu dan rasa malu puak-puak kamu rasuah pengundi dengan menggunakan nama Allah. Mungkin Allah SWT ingin buka dan tunjukkan kebatilan ini.

“Dan bila rakyat lapor polis dan fail petisyen ke atas rasuah kamu, kamu keluar “dalil” dan panggil rasuah kamu itu “sedekah”. Selepas itu puak kamu kata ia bergantung kepada niat pula, dan kononnya orang lain pun buat juga.

“Dan bila ditanya dari mana kamu dapat duit berbillion untuk merasuah pengundi semasa pilihanraya dan adakah ia dari rundingan terus projek tebatan banjir RM15 billion, puak kamu tipu dan kata kononnya surat setuju terima untuk projek itu belum keluar padahal sebahagian projek telahpun berjalan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Isham seterusnya menempelak berkaitan kenyataan UMNO tidak mempunyai keabsahan moral untuk mempersoal berkaitan rasuah sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya.

“Sekarang kamu kata UMNO pula tiada keabsahan moral untuk persoal kamu buat rasuah dan kamu tuding jari dan tuduh UMNO macam-macam lagi untuk tutup rasuah kamu.

“Semasa zaman Rasulullah, ada golongan yang perangainya macam puak-puak kamu ini, di luar nampak alim dan selalu mengguna agama dan menunggang ayat-ayat Al-Quran tetapi di belakang buat perkara batil, mereka digelar munafik. Rasulullah benci dan memerangi orang-orang munafik,” tambahnya.

Tambahnya lagi apakah gara-gara berkawan dengan PPBM tabiat merka mula berubah dan tidak boleh membezakan antara rasuah dengan sedekah.


“Mungkin sejak berkawan dengan PPBM ini tabiat semakin teruk dan sudah selesa dan memilih jalan yang sesat. Kamu tidak lagi guna tin milo tetapi sudah pandai duduk hotel lima bintang semasa kempen pilihanraya sehingga sudah tidak boleh membezakan antara sedekah dan rasuah. Usah gelap mata dengan duit.

“Matlamat untuk menang tidak menghalalkan cara. Biar kita bersusah atas landasan perjuangan yang betul dan ikhlas daripada bersenang atas landasan perjuangan yang salah.

“Keberkatan dalam perjuangan dan bagaimana kita menang itu penting, bukan sahaja matlamat kemenangan itu sahaja. Biar kita kalah bermaruah daripada menang dengan rasuah. Muhasabah dan bertaubatlah sebelum terlambat. Kembalilah ke jalan yang lurus. Ihdinas siratal mustaqim.,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.