Jangan Cari Dalil Halalkan Rasuah Pengundi – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil  mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang  agar janganlah mencari dalil untuk halalkan rasuah pengundi.

Tegas beliau jika rasuah pengundi ini halal, ke manakah sistem politik dan demokrasi negara ini ingin dituju apabila parti dan ahli politik boleh sewenangnya merasuah pengundi atas nama sedekah untuk menang pilihanraya?,

Kata beliau lagi menerusi catatan di Facebooknya, sebelum pilihanraya atau semasa dalam kerajaan, untuk beri “sedekah” ini, mereka ambil rasuah dari projek kerajaan untuk guna duit itersebut bagi tujuan merasuah dan “sedekah” pengundi untuk menang pilihanraya bagi membentuk kerajaan serta mendapat jawatan kerajaan, dan ini adalah kitaran rasuah selain politik wang yang busuk dan teruk.

“Semalam  Haji Hadi kata beri duit kepada pengundi (dengan balasan mereka undi Pas dan PN) semasa kempen pilihanraya itu adalah sedekah. Jika ikut logik Haji Hadi ini, maka sesiapa pun bolehlah beri “sedekah” dan timbal balas “sedekah” itu tidak penting. Oleh itu, jika kontraktor projek tebatan banjir yang dapat kontrak secara rundingan terus RM15 billion ingin beri duit kepada ahli-ahli politik PN atau Pas dalam kerajaan yang telah luluskan kontrak ini pun bolehlah dikategorikan sebagai “sedekah”.

“Dan duit ini untuk mereka guna untuk “sedekah” kepada pengundi dalam pilihanraya. Dan sebahagian duit dari dana kerajaan sebanyak RM92.5 billion yang diberikan komisyen oleh kontraktor kepada broker kepada menteri atau ahli politik kerajaan PN yang sedang disiasat SPRM itu pun bolehlah dikira “sedekah”, jika “dalil” Hadi ini digunapakai.

“Haji Hadi, beri duit kepada pengundi untuk membeli undi itu bukan sedekah, itu adalah suapan atau sogokan atau rasuah kepada pengundi.  Sedekah tidak ada timbal balasnya, ianya ikhlas diberi kepada orang yang memerlukan,” katanya.

Katanya lagi, jika sesuatu transaksi itu ada timbal balasnya, ianya bukanlah sedekah, tetapi lebih kepada perniagaan, suapan, sogokan atau rasuah atau lain-lain transaksi selain sedekah malah memberi duit kepada pengundi semasa pilihanraya dan menyuruh mereka bersumpah untuk mengundi Pas itu bukan sedekah, sebaliknya itu sogokan atau rasuah.

“Mengikut Undang-undang Malaysia, Akta SPRM 2009 (Akta 964), Seksyen 3, “suapan” ertinya- (a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain..”

“Mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, Seksyen 10: “Orang yang berikut hendaklah disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok:

(a) tiap-tiap orang yang, sebelum,semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya;..”

“Dan Seksyen 11 akta yang sama menyebut, “…tiap-tiap orang yang bersalah atas suatu perbuatan rasuah, dan boleh, apabila disabitkan oleh sesuatu Mahkamah Sesyen mengenai hal yang tersebut dalam perenggan (a) dan (b), dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima ribu ringgit, dan, dalam apa-apa hal lain, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun dan didenda tidak melebihi dua ribu ringgit. Kesalahan di bawah perenggan (a) dan (b) ialah kesalahan boleh tangkap mengikut pengertian Kanun Tatacara Jenayah.

“(2) Tertakluk kepada apa-apa peruntukan tertentu yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan mana-mana pilihan raya, tiap-tiap orang yang disabitkan atas sesuatu perbuatan rasuah tidak boleh, oleh sebab sabitan itu, didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya atau dipilih dalam mana-mana pilihan raya, dan jika pada tarikh itu dia telah pun dipilih dalam mana-mana pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu..”.” katanya.

Tambah beliau lagi, betul politik memerlukan wang, namun jika inilah sistem sedia ada, ia adalah suatu sistem yang amat buruk dan perlu diubah dan bukannya dibuat dengan lebih teruk umpama politik wang “on steroid” seperti yang dilakukan oleh PN dalam pilihanraya baru-baru ini dan semasa menjadi kerajaan selama 17 bulan.

“Apa yang mungkin ingin ditunjukkan oleh Allah SWT dalam pilihanraya baru-baru ini adalah orang-orang yang kononnya bergelar ulamak dan pak-pak lebai juga tidak imun dari gelap mata akibat duit dan rasuah.

“Negara ini perlu reform tentang pendanaan politik supaya pendanaan politik ini tidak kotor. Dan supaya anak-anak muda pun boleh terlibat dalam politik jika mereka ada niat dan perjuangan yang baik tanpa perlu ambil rasuah. Jika tidak, hanya orang-orang kaya atau orang-orang perasuah sahajalah yang boleh berjaya dalam politik dan menentukan dasar-dasar untuk rakyat dan negara di Malaysia.

“Orang-orang yang ikhlas, baik dan tidak kaya raya tidak berpeluang melawan duit “sedekah”perasuah-perasuah kaya untuk berjaya dalam politik di Malaysia. Ini tidak baik dan tidak sepatutnya.Kita perlu beri ruang kepada orang-orang baik untuk menentukan dasar untuk rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.