Perpaduan Perlu Dijaga Pastikan Kesinambungan Perjuangan UMNO – Azhari

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari menyeru semua pihak terutama kepimpinan akar umbi, ahli parti dan pendukung parti untuk berlapang dada dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Katanya ini penting kerana perpaduan dalam kalangan ahli perlu dijaga bagi memastikan kesinambungan parti keramat ini dapat diteruskan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Sebagai pemimpin bahagian saya menyeru kepada semua pemimpin akar umbi, ahli dan penyokong parti menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka kerana ini adalah demi kelangsungan dan survival parti.

“Sebab UMNO ini tidak boleh dilihat berpecah lagi kerana ini memberi persepsi negatif daripada masyarakat.

“Jadi dengan perpaduan yang kukuh maka agenda untuk pengukuhan dan rejuvinasi parti akan dapat diberikan tumpuan lebih terperinci serta fokus untuk menjadikan UMNO lebih kuat dan mantap untuk menghadapi PRN,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Sementara itu, beliau meluahkan kesyukuran dengan sokongan dalam kalangan perwakilan yang hadir dan menyokong usul-usul dibawa pada PAU 2022 lalu.

“Memang kita melihat sokongan terhadap usul termasuk tambahan kuputusannya amat menggalakkan boleh dikatakan majoriti dalam Dewan itu menyokong usul tambahan itu.

“Ini membuktikan bahawa seluruh bahagian hari ini bersolidariti di bawah kepimpinan Presiden dan Timbalan maknanya kita tidak mahu ada perpecahan dalam kalangan di peringkat atasan yang akan memberi kesan kepada kami di peringkat akar umbi,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.