Pembangunan Infrastruktur Demi Manfaat Rakyat Sentiasa Jadi Prioriti Saya, Kata Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata sejak menjadi wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, pembangunan infrastruktur sentiasa menjadi prioriti beliau.

Kata Ahli Parlimen Jelebu itu, apabila terdengar ada masalah berbangkit pada projek-projek pembangunan infrastruktur untuk rakyat, beliau lebih suka ambil langkah melihat sendiri secara dekat dan mendengar sendiri dari pihak berkenaan.

“Hari ini saya bersama dua YB ADUN (Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri) turun melihat perkembangan pembinaan Masjid Daerah Jelebu di Klawang dan Masjid Kariah Kampung Kerangai di Pertang.

“Saya juga menerima taklimat terus dari JKR (Jabatan Kerja Raya) Daerah Jelebu, ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) Negeri Sembilan dan kontraktor mengenai peratusan nilai kerja dan isu-isu berbangkit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, setiap projek yang bermanfaat untuk rakyat seharusnya dapat disiapkan sebagaimana mengikut perancangan.

“Yang penting, setiap projek pembangunan untuk manfaat rakyat harus mengikut perancangan. Supaya rakyat tidak ternanti-nanti,” katanya.

Untuk rekod, sebelum dipilih sebagai Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin juga pernah menjadi ADUN Kuala Klawang dan juga Pertang.

Dalam statusnya yang berlainan, Jalaluddin turut memaparkan beberapa kemudahan infrastruktur yang kini sedang dibaik pulih oleh JKR dan agensi lain akibat banjir besar 2021 lalu yang melanda kawasan Jelebu.

“Antaranya dua jambatan di Pertang, Jambatan Jalan Batu Kikir-Pertang dan Jambatan Jalan Utama Simpang Pertang-Ladang Pertang.

“Kerja-kerja Jambatan Jalan Batu Kikir-Pertang mengalami kelewatan fizikal 100 hari atas faktor cuaca dan lain-lain. Untuk Jambatan Jalan Utama Simpang Pertang-Ladang Pertang sudah siap dan boleh dilalui sepenuhnya, Alhamdulillah.

“Saya ucap terima kasih kepada JKR Jelebu dan agensi lain yang membantu melaksanakan infra ini,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.