Agensi Kerajaan Perlu Fahami, Terjemah Konsep Malaysia Madani – Ahmad Zahid

PUTRAJAYA, 19 Jan – Semua agensi kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun negeri perlu memahami dan melaksanakan tindakan susulan bagi menterjemah keberkesanan konsep ‘Malaysia Madani’ dalam dasar kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain menterjemahkan konsep yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kepada modifikasi terhadap dasar sedia ada, ia harus diimplementasi oleh semua pihak.

“Dalam hal ini, perdana menteri melontarkan pandangan mengenai masyarakat Madani sejak lebih suku abad lalu. Apabila beliau ditakdirkan menjadi nahkoda kepada kerajaan yang ada, tentunya kerajaan diketuai beliau dan dukungan daripada pelbagai parti (politik) harus memberikan penghayatan terhadap pelaksanaan dan juga tindakan susulan kepada pelaksanaan berkenaan.

“Akhirnya, kita lihat bahawa masyarakat harus digaris bawahi dengan penuh kesejahteraan, maka ukuran kesejahteraan itulah yang disebutkan perdana menteri dalam ucapan ulung tadi yang memperlihatkan akhirnya keterangkuman daripada pelbagai kumpulan masyarakat, bangsa, agama, bahasa dan wilayah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri amanat Perdana Menteri bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani itu diacu berteraskan enam tonggak iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyifatkan konsep Madani bukan sekadar idealisme baharu untuk meninggalkan dasar-dasar lama kerajaan tetapi pelaksanaan tersebut perlu dilakukan dengan minda Madani.

“Ini pendekatan baharu yang cukup lama ditunggu oleh masyarakat yang selama ini memperoleh bantuan daripada kerajaan dalam apa bentuk pun supaya bantuan-bantuan ini biarpun diteruskan, namun ada nilai kerohanian bagi menjadikan masyarakat dipertingkatkan taraf hidupnya dan tidak dipinggirkan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.