Terlalu Banyak Andaian, Tohmahan… Demokrasi UMNO Masih Subur – Puad

KUALA LUMPUR, 18 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan keretakan yang digambarkan oleh segelintir pihak apabila jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan adalah bersifat andaian.

Katanya, sedang perpecahan dalam UMNO telah berlaku sebelum ini iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila ada dalam kalangan pemimpin yang bertindak mengikut kehendak sendiri.

“…seperti kata Joceline Tan (The Star) “Rift deepens in UMNO after no-contest decision”. Dia juga kata “Can one win and yet lose at the same time?”. Itu andaian setengah media. Joceline silap. Perpecahan UMNO bertambah parah bila UMNO kalah PRU14. Puak yang takut didakwa ini buat kumpulan sendiri. Ada yang jadi katak. Ada yang bersembunyi.

“Puak desperado ini menyusahkan parti selama lima tahun. Mereka tidak ikut keputusan parti. Jadi duri dalam daging. Keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 mengabsahkan gelagat mereka telah ditolak.

“Ia mendedahkan secara terbuka siapa kuncu-kuncu mereka. Kali ini mereka tersisih. Mereka tambah sukar untuk menguasai parti dan guna parti untuk agenda peribadi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata terlalu banyak prasangka dan tomahan setelah PAU 2022 tamat sehinggakan ada yang menyebarkan naratif demokrasi UMNO sudah mati.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu lagi, kumpulan terdesak dalam UMNO malah mendakwa keputusan PAU 2022 tidak sah kerana melanggar perlembagaan UMNO namun lebih dahsyat ada yang menuduh wujud pengundi hantu.

“Peliknya kali ini mereka amat berminat untuk bertanding. Masa UMNO kalah 2018 mereka lari. Ini kerana ketika itu UMNO hilang kuasa. Perdana Menteri ialah Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad).

“Mereka takut didakwa dan dipenjara. Mereka tahu Tun M akan balas dendam. Mereka sudah dipanggil oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Semua menjauhkan diri dari UMNO, Najib (Datuk Seri Najib Razak) dan Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Takut terpalit.

“Sekarang mereka timbul balik. Mereka teringin untuk bertanding. Kenapa? Kerana UMNO parti dalam kerajaan. Mana mungkin UMNO akan mendakwa mereka. Hipokrit betul. Mereka juga teringin kerana kalau menang, mereka secara automatik akan jadi menteri. Sudah ada yang bersuara, kalau menang, dia kekal sokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai PM,” ujar beliau.

Jelas Mohd Puad, keputusan PAU 2022 dan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan akan beri nafas kepada parti keramat ini dalam membina kembali kekuatan dan melaksanakan hala tuju baru yang dikemuka oleh Presiden, Ahmad Zahid.

“UMNO pernah haram kerana pertandingan antara Mahathir-Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah). Ia tidak akan berulang. Politik wang juga dapat dielak. UMNO boleh fokus untuk menghadapi PRN (Pilihan Raya Negeri) di enam negeri.

“Maka tidak benarlah perpecahan UMNO akan semakin dalam seperti dakwaan Joceline Tan dalam The Star,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.