Kekang Politik Kebencian Melalui Akta Dan Mahkamah Perlembagaan Khas

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa kerajaan Malaysia menggubal akta bagi mewujudkan Mahkamah Khas bagi membicara dan mengadili kes-kes yang berkaitan dengan politik kebencian berasaskan kepada isu-isu perkauman dan agama.

Presidennya, Tan Sri Mohd Yussof Latiff yang juga veteran UMNO berkata ini membabitkan isu-isu sensitif seperti institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam, kedudukan Bahasa Melayu, hak-hak istimewa orang-orang Melayu serta dan hak-hak kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini menunjukkan betapa suhu perkauman dan agama menjadi panas setelah dipermainkan oleh sesetengah parti-parti politik. Cadangan ini ialah bagi membendung isu-isu ini diungkitkan oleh puak-puak dan segelintir anasir-anasir subversif yang boleh mencetuskan pergaduhan dan rusuhan kaum.

“Malaysia perlu menjadi sebuah negara yang aman dan stabil politiknya serta mencegah budaya fitnah-memfitnah yang sangat membahaya bukan sahaja dari segi agama tetapi juga perpaduan dan keharmonian kaum. Politik kebencian ini secara jelas menodai maruah Perlembagaan Persekutuan serta semangat Rukun Negara dan tindakan ini sangat merbahaya dan perlu disekat segera,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Dalam pada itu beliau berpandangan politik kebencian ini perlu segera dibendung dengan undang-undang yang sesuai melalui akta agar kes-kes yang berkaitan dengan politik kebencian dapat dibicarakan dan diadili di Mahkamah Perlembagaan Khas.

Jelas Mohd Yussof penubuhan Mahkamah Perlembagaan Khas ini bertujuan mempercepatkan kes-kes itu dibicarakan dan diadili supaya ia menjadi satu mekanisme untuk menunjukkan bahawa pihak kerajaan serius untuk menangani masalah politik kebencian ini.

“Dengan kata lain, Mahkamah Perlembagaan Khas ini dapat bertindak tanpa lengah-lengah bagi membendung perasaan keresahan masyarakat akibat tindak tanduk puak-puak yang tidak bertanggungjawab yang menghina Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara itu.

“Sebagaimana yang kita tahu, mahkamah-mahkamah yang ada di negara kita ini sama ada mahkamah peringkat tinggi seperti Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan atau mahkamah peringkat rendah seperti Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen menangani pelbagai kes dan pastinya mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya.

“Jadi dengan adanya Mahkamah Perlembagaan Khas ini, kes-kes berkaitan dengan politik kebencian mendapat perhatian segera dan pantas. Maka usaha mengatasinya akan menjadi lebih berkesan.

“Mewujudkan satu akta atau undang-undang untuk membendung isu politik kebencian dan mengadakan Mahkamah Perlembagaan Khas untuk membicarakannya menjadi satu agenda penting negara sekarang sebelum iklim politik negara menjadi lebih parah oleh pemimpin pemimpin politik dan orang awam yang tidak bertanggungjawab,” ujar beliau.

Beliau juga turut mencadangkan bahawa seseorang pesalah yang dituduh jika disabit kesalahan menghina Perlembagaan maka yang dituduh hendaklah dihukum dengan penggantungan kerakyatan yang dituduh mengikut tempoh masa keputusan mahkamah dan yang dituduh itu juga dibuang daerah pada jangka masa yang diputuskan oleh Mahkamah.

“Pesalah yang dihukum oleh Mahkamah Perlembagaan tidaklah wajar dikenakan penjara atau ditempatkan di kem tahanan oleh kerana tidaklah wajar pihak kerajaan menanggung kos dari wang rakyat untuk membiayai makan, minum, pakaian dan penjagaan mereka semasa dalam tahanan atau lokap.

“Harapan Pemenang agar bahawa pihak kerajaan akan memberi pertimbangan untuk akta dan Mahkamah Perlembagaan Khas berkaitan politik kebencian dengan segera untuk membendung perkara-perkara yang tidak diingini berlaku di dalam negara ini,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.