Pengagihan Wang Berleluasa, UMNO Terengganu Fail Petisyen Batal Keputusan Tiga Parlimen

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Terengganu menfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Terengganu bagi membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Said berkata tindakan itu dilakukan atas salah guna kuasa oleh kerajaan negeri yang bertindak mengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu beberapa hari sebelum PRU15.

“Tidak pernah saya alami sepanjang sembilan kali terlibat dalam PRU wang begitu banyak diagihkan kepada rakyat, kerajaan negeri Terengganu telah menyalahgunakan kuasanya memberikan bantuan sempena Hari Raya menerusi i-fitri.

“Didapati wang juga dikeluarkan oleh parti beberapa hari sebelum hari pengundian, semasa Barisan Nasional (BN) tadbir setiap hari raya akan diberikan dana hari raya kepada yang layak serta dana remaja kepada belum berkahwin termasuk mahasiswa.

“… tetapi apabila mereka perintah tak diberi dana itu selama tiga tahun, kita bising dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kenapa tidak diagih kepada rakyat,” katanya.

Menurut beliau, pengagihan wang itu berlaku di lapan Parlimen di Terengganu bagaimanapun kerana kesukaran untuk mendapatkan saksi, hanya tiga petisyen dapat difailkan buat masa ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang dilakukan di Auditorium UMNO, Menara Dato Onn, tengah hari tadi.

Ahmad berkata ini termasuk juga i-pencen yang sepatutnya diberikan secara bulanan kepada penerima namun diagihkan secara lump-sum beberapa hari sebelum hari pembuangan undi.

“Lepas kita bising akhirnya pada tahun keempat peruntukan peringkat awal RM20 juta diberikan dipanggil i-fitri untuk sambut raya. Semasa pengagihan kali pertama ditambah lagi RM36 juta yang secara keseluruhannya RM56 juta diagih semasa PRU pada 15, 16 dan 17 Nov iaitu dua hari sebelum pilihan raya.

“Di Kemaman dana i-mahasiswa diberi 17 Nov termasuk i-pencen untuk 60 tahun ke atas sebanyak RM600 yang sepatutnya RM50 tapi diberi sekaligus, dalam apa sahaja keadaan sekalipun dari segi moral salah kerana diberi beberapa hari sebelum PRU,” ujar beliau.

Sementara itu, peguam Amin Othman yang mewakili BPUN Terengganu berkata petisyen itu difailkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana ianya bersandarkan isu rasuah yang berlaku semasa tempoh berkempen dan hari mengundi.

“Kami menerima arahan daripada BPUN Terengganu, calon dan wakil calon yang bertanding semasa PRU15 untuk menfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan tersebut.

“Petisyen telah difailkan pada 3 Januari 2023 dan telah pun sempurna menghantar ketiga-tiga petisyen kepada respondan calon yang menang. Antara alasan adalah untuk mohon perintah mahkamah untuk keputusan Parlimen di Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman dibatalkan atas dakwaan rasuah,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.