Usul Dua Jawatan Tertinggi Parti Tidak Dipertanding Sah Ikut Fasal Perlembagaan UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Usul tambahan di Perhimpunan Agung UMNO 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang adalah sah mengikut perkara serta fasal dalam perlembagaan parti, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita merasakan bahawa tambahan usul Perkara 8 daripada usul ucapan pencadang terhadap ucapan dasar presiden itu sepenuhnya mengikuti beberapa fasal yang terdapat dalam perlembagaan parti,” katanya dalam sidang media selepas ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Terdahulu, majoriti perwakilan yang hadir pada perhimpunan itu menyatakan sokongan terhadap usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding pada pemilihan parti tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan menyokong usul itu.

Ahmad Zahid juga berkata kelulusan usul tambahan itu adalah muktamad.

Katanya bagi jawatan Naib Presiden ke bawah, ia terbuka untuk dipertanding seperti biasa.

Terdahulu, Ahmad Zahid dalam ucapan penangguhan mengucapkan terima kasih kepada perwakilan atas sokongan terhadap usul itu.


“Insya-Allah, saya bersama Tok Mat (Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan) akan lakukan yang terbaik dalam tempoh sepenggal lagi,” katanya.

Pada sidang media itu, beliau turut menafikan dakwaan terdapat ‘perwakilan import’ di dalam dewan perhimpunan demi memastikan usul tambahan tersebut diluluskan.

“Perwakilan yang diabsahkan ialah perwakilan dalam perhimpunan agung mengikut fasal-fasal dalam perlembagaan dan peraturan parti.

“Jika ada berita ada perwakilan tidak sah dalam dewan, saya yakin perkara itu telah mendapat nasihat daripada penasihat undang-undang UMNO yang lebih tahu mengenai perjalanan mesyuarat,” katanya.

Ahmad Zahid juga menafikan beliau dan Mohamad terlibat dalam urusan pembawaan usul tambahan itu malah mengakui terkejut ia dibawa serta diluluskan.

Beliau turut mengulas desakan supaya tindakan diambil terhadap bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin yang mendakwa wujudnya komplot meluluskan usul tambahan itu.

“Itu suatu perkara yang lain, yang akan dibincangkan oleh lembaga disiplin dan akan dibawa oleh jawatankuasa pengurusan oleh bahagiannya,” kata Ahmad Zahid.

Mohamad pula berkata beliau tidak mengetahui usul itu dibawa oleh perwakilan bahagiannya iaitu Rembau.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.